Gaduh sebab undi paling banyak di Instagram punca remaja ditikam

WARDHA - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas ditikam dalam satu pertelingkahan berkaitan hantaran Instagram di daerah Wardha, Maharashtra, India pada Sabtu.
Menurut polis, kejadian berlaku di Kampung Pimpalgaon, kawasan Hinganghat, selepas mangsa, Himanshu Chimney, bertemu dengan suspek, Manav Jumnake, 21, bagi membincangkan perselisihan faham antara mereka.
Hasil siasatan, kira-kira sebulan lalu, kedua-dua mereka telah memuat naik satu hantaran di Instagram berbentuk undian untuk mendapatkan sokongan pengguna media sosial.
Himanshu mendapat lebih banyak undian berbanding Manav yang dipercayai menjadi punca pertelingkahan.
Pada Sabtu, mereka bertemu bagi membincangkan isu tersebut sebelum bertikam lidah.
Ketika pertengkaran memuncak, suspek bersama rakannya didakwa menyerang mangsa dengan pisau hingga menyebabkan kematian.
Polis berjaya menahan Manav selepas kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta pihak yang turut terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

