KPDN rampas arak tiruan RM104,918

Mohd Sabri (kanan) menunjukkan minuman keras tiruan yang dirampas.
Mohd Sabri (kanan) menunjukkan minuman keras tiruan yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas 244 botol minuman keras bernilai RM104,918 yang disyaki menggunakan cap dagang tiruan.

Rampasan itu dibuat dalam operasi di dua buah premis pusat hiburan di sekitar ibu kota, pada Khamis.

Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman berkata, operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN WPKL itu adalah hasil daripada maklumat awam.

"Operasi itu juga dilaksanakan hasil tindakan susulan daripada wakil tuan punya berdaftar cap dagangan serta risikan awal selama dua minggu yang telah dilakukan oleh pihak KPDN," katanya pada sidang media di stor KPDN WPKL, Segambut di sini, pada Isnin.

Mohd Sabri (dua, kanan) pada sidang media di stor KPDN WPKL, Segambut pada Isnin.
Mohd Sabri (dua, kanan) pada sidang media di stor KPDN WPKL, Segambut pada Isnin.

Mohd Sabri berkata, maklumat awal daripada pengadu awam mendapati setem cukai minuman keras Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang telah diimbas didapati tidak mengeluarkan apa-apa maklumat yang berkaitan.

"Ia menimbulkan keraguan terhadap ketulenan dan tahap keselamatan kandungan cecair minuman berkenaan jika dijual di pasaran dan diminum di premis berkenaan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan, pasukan serbuan telah menemukan sebanyak 244 botol minuman keras pelbagai jenama yang disyaki dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

"Kesemua minuman keras tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan yang lain telah disita untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga pengurus pusat hiburan berusia 35 tahun untuk membantu siasatan.

"Kertas siasatan telah dibuka bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019," ujarnya.

Mohd Sabri berkata, melalui inisiatif Kita Gempur, siasatan lanjut akan dilakukan bersama pihak JKDM berkenaan setem cukai minuman keras yang disyaki palsu.

"Pihak berkaitan juga boleh disiasat kerana disyaki melanggar seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730]," katanya.

Menurutnya, KPDN WPKL memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusniaga minuman keras di semua peringkat, supaya tidak terlibat dalam perkara seperti itu.

"Selain daripada tindakan undang-undang dikenakan, ia juga boleh memudaratkan kesihatan kerana kandungannya yang tidak asli dan berisiko mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh membawa kesan negatif sehingga kehilangan nyawa penggunanya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!