Belia tawar kursus gunting rambut percuma selama setahun

MELAKA - Biarpun berdepan pelbagai rintangan dalam perniagaan, namun seorang anak muda mahu berkongsi kemahiran kursus gunting rambut profesional secara percuma kepada belia.
Menurut Muhammad Hilman Mohd Rosli, 28, menyasarkan 100 tukang gunting rambut 'premium' dapat dibentuk di akademi baharu ditubuhkan Januari lalu.
"Saya berbesar hati untuk menaja pelajar tertentu yang melepasi syarat kelayakan selepas temuduga terutama kepada golongan belia berminat tanpa mengira kaum berusia bawah 25 tahun.
Katanya, mereka yang terpilih akan mengikuti kemahiran latihan gunting rambut percuma selama setahun dengan kos dianggarkan bernilai hampir RM20,000.
"Sumbangan latihan percuma ini terbuka kepada lelaki bujang dan golongan B40 berminat dalam bidang ini.
"Kita juga menyasarkan pelajar berusia sehingga 60 tahun kerana hari ini ramai mula sedar tukang gunting rambut 'premium' adalah kerjaya lumayan yang menjamin masa depan," katanya ketika ditemui di Taman Tasik Utama, di sini, pada Isnin.
Jelas Muhammad Hilman, pihaknya akan menyediakan penginapan selain gaji kepada peserta selama setahun.
"Mereka yang terpilih akan menjalani latihan teori dan praktikal di akademi selama sebulan dan bulan seterusnya akan melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam dunia sebenar.
Malah katanya, mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diserap bekerja di mana-mana tiga cawangan di Ayer Keroh, Sungai Udang atau Masjid Tanah dengan pendapatan bulanan.
"Menjadi hasrat saya untuk mengubah tanggapan ramai mengenai pekerjaan tukang gunting rambut di negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

