Zi Yu menyerlah, rangkul dua gelaran di Johor

Zi Yu (kiri) - Auni Fatihin ungguli acara beregu perempuan B-16 Kumpulan C Jelajah Elit Junior AFFIN-100PLUS 2025 di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru, Johor pada Ahad. Foto BAM
Zi Yu (kiri) - Auni Fatihin ungguli acara beregu perempuan B-16 Kumpulan C Jelajah Elit Junior AFFIN-100PLUS 2025 di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru, Johor pada Ahad. Foto BAM
A
A
A

BINTANG badminton muda negara, Low Zi Yu, mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih dua gelaran pada Pusingan Satu Kumpulan C Jelajah Elit Junior AFFIN-100PLUS 2025 di Kompleks Sukan Educity, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Zi Yu, 15 tahun, yang meraih pingat perak bersama Dania Sofea Zaidi di Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu, mengungguli acara beregu dan perseorangan perempuan Bawah 16 Tahun (B-16).

Bergandingan dengan Auni Fatihin Azuan, Zi Yu yang merupakan pilihan utama hanya memerlukan 27 minit untuk menewaskan pasangan pilihan kedua dari Sarawak, Wafa Shahmina Rahman-Wendy Feebie Ricky, straight set 21-10, 21-12.

Momentum Zi Yu berterusan apabila beliau turut merajai acara perseorangan perempuan B-16 selepas menewaskan wakil Johor yang juga pilihan ketiga dan keempat, Hasyni Devi Sahathevan, straight set 21-15, 21-9 dalam tempoh setengah jam.

Sementara itu, saingan Kumpulan B yang berlangsung di Akademi Badminton Perak, Nur Aina Maisarah Muhamad Hatta turut meraih dua gelaran dalam acara beregu dan perseorangan perempuan B-16.

Nur Aina Maisarah dari Ipoh dan pasangannya, A Baavanya, merangkul gelaran beregu perempuan B-16 selepas menyingkirkan pilihan ketiga dan keempat dari Putrajaya, R Loshini-Leong Hwee Ling, 21-14, 21-19.

Di pentas final perseorangan perempuan B-16, Nur Aina meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pilihan kedua dari Perak, Balqis Safia Zahra Mohd Zain, straight set 21-15, 21-11.

Di Kumpulan A yang berlangsung di Dewan Gan Hong Hoe, Melaka, Teoh Sue Mei, 15 tahun, turut meraih dua gelaran dalam acara beregu dan perseorangan perempuan B-16.

Artikel Berkaitan:

Bergandingan dengan Wan Zi Qing dari Kuala Lumpur, Sue Mei hanya memerlukan 30 minit untuk menewaskan wakil Selangor, Lim Yew Ern-Kiera Wong Yin Xuen, straight set 21-10, 21-11 bagi meraih gelaran beregu perempuan.

Sue Mei kemudian melengkapkan misinya dalam acara perseorangan perempuan B-16 dengan kemenangan 21-17, 21-12 ke atas pilihan utama dari Selangor, Chanice Tan Ying Xuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!