Sensasi Sivasangari raih gelaran pertama

PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari melakar sensasi apabila meraih gelaran pertama tahun ini selepas menjuarai Piala Cincinnati Gaynor di Amerika Syarikat (AS) awal pagi Isnin.
Malah lebih menarik pemain negara yang menghuni ranking ke-10 dunia mengejutkan pilihan kedua kejohanan, Amanda Sobhy dalam aksi yang mendebarkan di Ohio.
Sivasangari yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan menang 3-2 ke atas pemain tuan rumah dalam pertarungan lima set selama 48 minit.
"Saya berasa hebat. Ini adalah gelaran pertama untuk tahun ini. Saya melalui beberapa bulan yang sukar. Kalah dalam perlawanan ketika hampir mencapai kemenangan.
"Namun ia adalah proses pembelajaran yang perlu saya lalui untuk menang hari ini (Isnin).
"Ia hadir daripada pengalaman yang saya lalui sepanjang beberapa bulan lalu," ujar Sivasangari.
Dalam aksi itu, Sivasangari memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menang set pertama 11-7, namun Sobhy bangkit untuk memenangi dua permainan 11-6, 11-7.
Bagaimanapun pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu enggan mengalah apabila mengubah corak permainan yang lebih bertenaga untuk mengesahkan kemenangan 11-7, 11-4.
Pemain berusia 26 tahun itu mara ke pentas final setelah mengejutkan pilihan utama dan juara bertahan, Olivia Weaver dalam saingan separuh akhir.
"Mengalahkan pilihan utama (Weaver) di separuh akhir adalah kemenangan besar bagi saya. Ia adalah kemenangan pertama kerana saya tidak pernah menewaskannya," katanya.
Sivasangari menjelaskan tidak meletakkan sebarang tekanan ketika berdepan Sobhy, sebaliknya hanya fokus kepada permainan sendiri.
"Amanda (Sobhy) adalah pemain yang bagus. Saya cuba bermain satu demi satu (mata), fokus kepada apa yang perlu dilakukan dan hasilnya akan datang. Akhirnya kemenangan berpihak kepada saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!