[VIDEO] PJRM 'Back to School' tawar harga murah di 174 lokasi
PENAMPANG - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 174 pasar raya dan kedai pakaian termasuk 31 di Sabah terlibat dalam pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) 'Back to School' 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu dilaksanakan mengambil kira bebanan kos yang ditanggung masyarakat termasuk di Sabah untuk membeli keperluan barangan sekolah menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi.
"Jadi kita formulakan PJRM 'Back to School' dan untuk tahun ini kita menyasarkan sebanyak 243 program ini di seluruh negara yang telah dimulakan sejak 16 Januari lalu dan akan berlangsung sehingga 18 Februari sepanjang tempoh persekolahan ini.
"Kali ini kita sebanyak 174 pasar raya, kedai pakaian dan juga pusat beli-belah di seluruh negara akan menawarkan antara 45 hingga 70 unit penyimpanan stok (SKU) jenis barangan seperti pakaian seragam, kasut sekolah, alat tulis dan sebagainya.
"Setakat 8 Februari, daripada sasaran 243 tersebut kita telah melaksanakan sebanyak 101 PJRM 'Back to School' di seluruh negara, jadi ada berbaki lagi dalam tempoh seminggu jadi saya mengalu-alukan masyarakat kita untuk memanfaatkan program ini," katanya dalam sidang akhbar di sebuah pusat beli belah di sini, pada Ahad.

Katanya lagi, untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menyemak di laman sesawang KPDN untuk mengetahui lokasi dan masa program itu dilaksanakan.
"Program ini tidak dipilih kepada golongan tertentu, tetapi untuk semua masyarakat dan mereka boleh menyemaknya ke lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.
"Contohnya di KPDN Sabah banyak menetapkan dalam minggu ini di mana komponen barang persekolahan yang ditawarkan diskaun adalah sekitar 10 hingga 30 peratus, sama seperti konsep PJRM," katanya.
Armizan juga menyatakan program itu mungkin akan ditambah lagi siri pelaksanaannya berdasarkan sambutan yang mengalakkan daripada rakyat.
"Setakat ini saya dimaklumkan, maklum balas amat memberangsangkan dan cukup luar biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

