Sepak motosikal: ILP Kota Bharu mohon maaf

Tindakan tidak profesional seorang kakitangan berjawatan tinggi di ILPKB mengundang kecaman netizen.
Tindakan tidak profesional seorang kakitangan berjawatan tinggi di ILPKB mengundang kecaman netizen.
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak atasan Institusi Latihan Perindustrian Kota Bharu (ILPKB), Pengkalan Chepa, di sini, memohon maaf kepada ibu bapa dan pelajar yang terlibat dalam insiden biadab pegawai kanan institusi itu yang menendang tiga motosikal ketika sesi pendaftaran hari ini.

Pengarahnya, Zainudin Ahmad berkata, kejadian melibatkan pegawainya itu berlaku di kawasan surau institusi tersebut pada sesi pendaftaran penuntut lama institusi berkenaan pada sebelah pagi tadi.

“Difahamkan, ibu bapa dan pelajar sudah sedia maklum bahawa kenderaan tidak boleh dibawa masuk ke kawasan ILPKB dan hanya perlu diletakkan di luar pagar sahaja, namun pagi tadi mungkin cuaca hujan dan mereka terpaksa membawa masuk kenderaan masing-masing.

“Bagaimanapun, pegawai kanan tersebut berang hingga bertindak sedemikian dan kami sendiri berasakan tindakan itu tidak patut jadi kami memohon maaf kepada semua yang terlibat,” katanya.

Rakaman berdurasi seminit 28 saat itu memaparkan tindakan kakitangan awam terbabit menendang tiga motosikal yang diletakkan di hadapan surau hingga menyebabkan barang yang diletakkan dalam raga motosikal turut jatuh.

Rakaman dikongsi seorang individu di Facebook dan tular sehingga memperoleh 4,300 perkongsian, 3,200 komen dan 1,300 reaksi daripada netizen hanya dalam tempoh dua jam.

Artikel Berkaitan: