Tengku Hassanal lancar Jom Masuk IPT

Tengku Hassanal (empat dari kanan) melancarkan Program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang di Kuantan semalam.
Tengku Hassanal (empat dari kanan) melancarkan Program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang di Kuantan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan semua universiti awam dan institusi pendidikan lain memiliki infrastruktur terbaik dengan tenaga pengajar serta pentadbir berkualiti supaya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang.

Bertitah ketika melancarkan Program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menggesa pihak kementerian dan universiti untuk memberi fokus kepada kebolehpasaran graduan.

“Jangan hanya mengejar kuantiti, sebaliknya utamakan kualiti supaya ia dapat memenuhi kehendak pasaran kerja kelak.

“Teori akademik yang diajar dalam kelas juga mestilah diseimbangkan dengan praktikal,” titah baginda di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini semalam.

Tengku Hassanal bertitah, kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi perlu memberikan perhatian serius kepada keperluan pembangunan infrastruktur UMP sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Titah baginda, keperluan infrastruktur yang moden dan ke hadapan adalah penting bagi menjamin persekitaran yang kondusif untuk mahasiswa menuntut ilmu.

Wahi (kiri) dan Mohd Rosli pada sidang akhbar Program Jom Masuk IPT Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam.
Wahi (kiri) dan Mohd Rosli pada sidang akhbar Program Jom Masuk IPT Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam.

“Pembangunan modal insan yang berilmu tinggi merupakan nadi kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

“Bakal graduan juga perlu merebut peluang yang tersedia pada hari ini untuk memilih kursus pengajian yang bersesuaian dengan minat dan pasaran kerja.

“Elakkan sindrom 3K iaitu kuliah, kafetaria dan katil. Pencapaian akademik yang cemerlang sahaja tidak lagi menjadi tiket dan jaminan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff Wan Azhar berkata, sesuai dengan objektif utamanya sebagai medium penghubung sektor pendidikan tinggi dengan komuniti, program Jom Masuk IPT 2020 Zon 2 menyaksikan penyertaan lebih 100 pempamer daripada pelbagai institusi dan agensi penyedia pendidikan tinggi untuk manfaat lebih 25,000 pelajar lepasan sekolah, guru, ibu bapa dan orang ramai yang disasarkan sebagai pengunjung.

Menurutnya, dengan ruang dan peluang yang disediakan itu, pihak penganjur, pelajar dan lepasan sekolah yang menjadi kumpulan sasaran utama karnival itu akan dapat membuat keputusan yang tepat mengenai pilihan IPT serta kursus yang bersesuaian untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya merealisasikan cita-cita kerjaya mereka pada masa hadapan.

Lancar portal

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin pula berkata, program Jom Masuk IPT mula dianjurkan pada tahun 2004 dan merupakan signature programme KPM.

Menurutnya, pada tahun lalu lebih 199,000 permohonan ke IPTA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) diterima dengan 138,000 daripadanya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan ILKA bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tahun ini kita menganjurkan karnival seumpama ini di lapan zon lagi dan ini merupakan zon kedua.

“Kita jangka ada pertambahan permohonan kerana setiap karnival dianggarkan sekitar 20,000 hingga 25,000 pengunjung hadir,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts Dr Mohd Rosli Hainin berkata, program berkenaan mampu menyediakan peluang pekerjaan dalam pasaran menjelang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0)

“Mulai Sesi Akademik 2020/2021, UMP menawarkan sebanyak enam program diploma dan 36 program Sarjana Muda termasuk program Ijazah Sarjana Muda Teknologi bagi menyediakan pelajar yang kompeten dan mahir dalam bidang teknikal serta memenuhi keperluan industri,” kata beliau.

Platform dapatkan maklumat kursus diminati

Pelajar Matrikulasi Pahang, Melur Fatini Suhaimi, 19, berkata, program Jom Masuk IPT adalah peluang untuknya mengetahui jenis kursus yang boleh disertai untuknya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya datang untuk mendapatkan maklumat mengenai jurusan bioteknologi dan syarat kemasukannya.

“Alhamdulillah, ada beberapa universiti yang menjadi pilihan dan saya akan memohon menerusi talian seperti yang ditetapkan,” katanya.

Melur Fatini (kiri) dan Nurul Izzah Batrisyia pada program Jom Masuk IPT Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam.
Melur Fatini (kiri) dan Nurul Izzah Batrisyia pada program Jom Masuk IPT Zon 2 di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang, Kuantan semalam.

Sementara itu, Nurul Izzah Batrisyia Md Razali, 20, yang merupakan graduan Matrikulasi Pahang berkata, dia mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang bioteknologi sekitar September depan selepas tamat pengajian pada April ini.

Menurutnya, program Jom Masuk IPT membantunya membuat keputusan dalam memilih jurusan terbaik pada masa hadapan.

“Saya seronok datang hari ini (semalam) kerana memudahkan urusan saya untuk memohon masuk ke universiti nanti,” katanya.