Isu murtad tidak boleh dipandang remeh

Gejala murtad di kalangan Melayu beragama Islam berada di dalam keadaan yang amat merisaukan saya sendiri dan kita perlu menyuarakannya. Gambar kecil: Shahray Zulkifli
Gejala murtad di kalangan Melayu beragama Islam berada di dalam keadaan yang amat merisaukan saya sendiri dan kita perlu menyuarakannya. Gambar kecil: Shahray Zulkifli
A
A
A

SAYA tertarik dengan keputusan kes saman yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terhadap mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, atas ucapan menyentuh bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.

Keputusan penuh kes ini dikeluarkan oleh Hakim Arziah Mohamed Apandi pada 5 Februari lalu.

Saya sendiri telah membaca buku tersebut dan pada pandangan saya ianya sebuah buku yang ditulis oleh penganut Kristian yang taat. Saya telah mengulas sedikit mengenai buku ini dan tulisan saya itu pernah tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia dan juga Sinar Harian.

Latar belakang kes ini ialah Tan Sri Musa telah dijemput oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memberi ceramah bertajuk “ Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989, PKM menyerah diri?” pada 30 Januari 2020.

Tan Sri Musa telah memulakan ceramahnya dengan latarbelakang sejarah Parti Komunis Malaya (PKM) dari zaman penjajahan Jepun, aktiviti negara selepas perang tersebut kepada pentadbiran kolonial British, perjanjian keamanan Hat Yai dalam konteks moden, implikasi politik dan sosial masa kini, penguatkuasaan undang-undang dan langkah-langkah keselamatan.

Dalam ceramah tersebut Tan Sri Musa juga menekankan kepentingan sikap kewaspadaan dalam menjaga keselamatan negara dan kepentingan mendidik generasi muda tentang sejarah ini dan dalam masa yang sama berwaspada dengan potensi ancaman yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara.

Menurut Tan Sri Musa lagi, kunci utamanya adalah memahami sejarah bagaimana sukarnya negara menghadapi ancaman komunis, kesannya kepada masyarakat masakini, keperluan untuk mengekalkan rekod sejarah yang tepat dan sentiasa berwaspada terhadap potensi ancaman kepada negara.

Di pertengahan ceramahnya, Tan Sri Musa telah menyentuh mengenai buku tulisan Hannah yang dikatakan ingin menukarkan Malaysia kepada negara Kristian. Buku tersebut mula diterbitkan pada tahun 2014.

Dakwaan defendan tersebut kemudian diperluaskan lagi dengan perbincangan mengenai apa yang dikatakan sebagai Kumpulan Evangelis dan kaitannya dengan parti politik tertentu khususnya DAP.

Artikel Berkaitan:

Tan Sri Musa kemudian menghubungkan perkara tersebut dengan penemuan penyelidikannya mengenai Kumpulan Evangelis dan gerakan politik. Tan Sri Musa juga menyatakan kebimbangannya bagaimana sesetengah bangsa Melayu yang menyatakan, “Apa salahnya negara ini menjadi negara Kristian”?

Pada beliau, persoalan tersebut adalah persoalan bermasalahkerana kedudukan Islam di dalam perlembagaan negara.

Hakim dalam keputusan penuh kes ini menyatakan, beliau sendiri tidak mengetahui bila sebenarnya Hannah mengetahui mengenai ceramah tersebut.

Hannah memberitahu mahkamah bahawa dia mengetahui tarikh tersebut dari seorang kawan di mana beliau sendiri tidak ingat.

Ianya mungkin pada tarikh 3 Mei 2021 di mana tindakan ini difailkan iaitu 459 hari selepas forum tersebut diadakan.

Fokus utama tindakan ini ialah terhadap kenyataan yang didakwa fitnah di dalam ceramah yang disangkal berdurasi 1 minit yang terdapat di perenggan 5 yang diplid oleh Hannah.

Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa kenyataan tersebut adalah fitnah dan Tan Sri Musa di dalam pembelaannya menyatakan bahawa kenyataannya itu ada justifikasinya, komen yang adil dan perlindungan bersyarat (justification, fair comment and qualified privilege).

Hakim menyatakan bahawa untuk menjadikan bahagian ceramah yang didakwakan itu fitnah Hannah perlu memenuhi tiga kriteria yang digariskan di dalam undang-undang iaitu:

(1) Kenyataan itu membawa tuduhan fitnah (defamatory imputation)

(2) Kenyataan itu merujuk kepada plaintif (refer to the plaintif}

(3) Kenyataan itu disiarkan (the statement was published).

Hakim berpendapat plaintif gagal membuktikan kenyataan defendan di dalam forum tersebut merujuk kepada plaintif kerana penggunaan perkataan “mereka”. Dari segi kenyataan yang didakwa fitnah, defendan dalam pembelaannya menyatakan dia dijemput dan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal penyiarannya.

Lagipun ketika perkara tersebut disiarkan hanya ada 1peratus kadar tontonan (‘engagement rate’), tiada komen negatif terhadap Hannah dan tiada bukti perkara tersebut tersebar secara berleluasa (‘widespread dissemination’).

Seterusnya hakim memutuskan bahawa Tan Sri Musa telah membaca keseluruhan buku tersebut dan, berdasarkan kesimpulannya, mendapati bahawa Hannah Yeoh telah menggunakan aktiviti politiknya untuk aktiviti Kristian.

Hakim juga menyatakan beliau sendiri telah membaca buku ini dan mendapati bahawa Hannah telah menulis "Sebab kedua saya menulis buku ini adalah untuk memuliakan Tuhan. Semoga saya dapat memuliakan-Nya melalui kesaksian ini, dan semasa anda membaca perjalanan saya. Saya berdoa agar anda melihat tangan-Nya bekerja. Dia menunggu untuk melakukan hal yang sama dalam hidup anda. Hanya taat. Dengan Tuhan, segala sesuatu adalah mungkin.”

Hakim berpendapat Hannah telah mengamalkan pendekatan evangelisme melalui kesaksian dengan berkongsi pengalaman peribadinya tentang keimanan untuk menggalakkan orang lain menerima kepercayaan yang sama.

Saya menyimpulkan di sini dan saya cadangkan juga anda membaca keputusan kes ini bahawa ketiga-tiga elemen yang diperlukan oleh undang-undang gagal dibuktikan oleh Hannah manakala Tan Sri Musa telah berjaya di dalam pembelaannya iaitu justifikasi, komen yang adil dan hak keistimewaan yang dibolehkan.

Saya difahamkan kes ini telah dirayu oleh Hannah dan dalam proses untuk didengar rayuan tersebut. Ulasan saya hanyalah berkaitan kes di Mahkamah Tinggi ini sahaja.

Selain dari keputusan di atas yang saya yakin dibuat dengan teliti dan adil dengan mengambil kira keterangan Hannah, keterangan Tan Sri Musa dan saksi-saksi Tan Sri Musa serta eksibit-eksibit yang dikemukakan di Mahkamah termasuk buku tulisan Hannah sendiri dan juga berdasarkan kepada dapatan oleh Tan Sri Musa, pada pandangan saya buku ini wajar diletakkan di bawah kategori agama – terpulang kepada pembaca dari agama lain untuk membacanya.

Seperti yang saya pernah tulis dalam artikel saya yang terdahulu, buku ini perlu dibaca dengan keimanan yang tinggi.

Saya tahu di luar sana ada yang menyatakan kita ini berfikiran kolot, nipis iman dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama kita mesti ingat bahawa di bawah perlembagaan negara kita di bawah Perkara 3 (1) menyatakan dengan jelas bahawa “Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.

Perkara 11 (4) melarang agama lain disebarkan kepada penganut agama Islam di mana dengan jelas memperuntukkan "Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Di bawah artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.”

Ini membawa maksud selepas usia 18 tahun seseorang itu berhak memilih agama yang hendak dianutinya.

Gejala murtad di kalangan Melayu beragama Islam berada di dalam keadaan yang amat merisaukan saya sendiri dan kita perlu menyuarakannya.

Kita tentu masih ingat kes murtad Aisyah Bukhari yang melibatkan elemen cinta di dalam kes tersebut dan juga kes Lina Joy atau nama asalnya Azlina Jailani yang menggemparkan umat Islam di Malaysia.

Kita sendiri dapat melihat keruntuhan moral di kalangan remaja Melayu Islam kita berada di dalam keadaan yang menakutkan di mana isu murtad atau riddah adalah isu keruntuhan moral yang perlu ditangani segera.

Dalam artikel tulisan Atriza Umar bertajuk “Kes murtad di Malaysia: Jenayah yang makin membarah” (Ikram.org. my bertarikh 30 Mac 2023) ada dinyatakan:

“Kes murtad dilaporkan berlaku dalam diam namun semakin membarah, tetapi orang ramai sangat takut dalam membincangkan isu tersebut. Isu murtad bukan sahaja tertakluk kepada mereka yang asalnya beragama Islam tetapi turut berlaku dalam kalangan masyarakat mualaf di Malaysia. Namun begitu, tiada angka yang jelas mengenai bilangan mereka yang murtad kerana angka ini bukan dilkeluarkan secara rasmi oleh mereka yang berurusan dalam mendaftar, peguam syarie dan hakim syarie.”

Atriza kemudian dalam perenggan berlainan menyatakan:

“Pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup menjurus gejala murtad, antara satu daripada empat faktor menyumbang berlakunya gejala murtad dalam kalangan orang Islam di negara ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.”

Beliau menegaskan bahawa faktor-faktor tersebut dikesan kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada pandangan saya, isu ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan kepada kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah ayat 217).

Berbalik kepada keputusan kes Hannah dan Tan Sri Musa tadi, kita perlu lihat keputusan kes tersebut dengan hati dan minda terbuka.

* Mohammad Shahray Zulkifli adalah bekas Peguam Syarie yang pernah beramal di Negara Brunei Darussalam selama 24 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!