X

Kindly register in order to view this article
!

MTUC yakin KWSP tambah baik aspek pelaburan

Abdul Halim Mansor
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yakin Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melakukan penambahbaikan terhadap proses dan prosedur dalamannya untuk meluluskan pelaburan di dalam dan di luar negara bagi memaksimumkan pulangan, seterusnya memberi dividen lebih baik kepada pencarum.

Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, tabung persaraan itu telah mencatatkan pulangan daripada pelaburan di luar negara yang amat positif sehingga membolehkannya mengumumkan dividen memuaskan untuk 2019 meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Menurutnya, MTUC turut mengharapkan kerajaan memberi semua peluang yang diperlukan KWSP untuk melabur di luar negara secara lebih giat bagi mengimbangi kelembapan ekonomi domestik.

"Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan dasar negara sentiasa dikaji semula dan diperbaiki untuk mewujudkan persekitaran yang akan merangsang pelaburan dan meningkatkan produktiviti pekerja," katanya menerusi satu kenyataan.

Pada Sabtu lalu, KWSP telah mengumumkan dividen 2019 sebanyak 5.45 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.0 peratus bagi Simpanan Shariah yang masing-masing melibatkan agihan berjumlah RM41.68 bilion dan RM4.14 bilion.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, bagi peringkat domestik, Indeks FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) turun sebanyak enam peratus tahun lepas, menjadikan pasaran saham negara antara yang terendah di rantau ini.

Katanya, senario itu secara langsung menunjukkan KWSP berdepan kesukaran untuk mengagihkan dividen lebih tinggi kepada pencarum.

"Malah pasaran ekuiti tempatan turut lemah berikutan perkembangan geopolitik dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China di peringkat global, menjadi antara faktor yang membantutkan ekonomi global.

"Semua perkembangan ini memberi kesan kepada pelaburan KWSP yang menyebabkan dividen 2019 lebih rendah namun kami yakin KWSP sedia mengambil langkah sewajarnya untuk melihat jika dasar pelaburannya dapat diperkukuhkan bagi menangani cabaran ekonomi mendatang bagi memastikan pulangan lebih baik mulai 2020 dan seterusnya," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Halim mengakui dasar yang dinamik perlu direalisasikan untuk menangani cabaran di era digital dalam dunia tanpa sempadan ketika ini.

"Ia sekali gus dapat membantu melonjakkan syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menjadi peserta global yang benar-benar kompetitif serta pada masa sama membantu KWSP mencapai pulangan lebih baik," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus