'Trofi EFL juga penting' - Slot

Salah (kanan) dan van Dijk yang tamat kontrak hujung musim ini, masing-masing menyumbang gol buat Liverpool ketika berdepan Spurs di Anfield.
Salah (kanan) dan van Dijk yang tamat kontrak hujung musim ini, masing-masing menyumbang gol buat Liverpool ketika berdepan Spurs di Anfield.
A
A
A

ARNE Slot menegaskan bahawa Piala Liga Inggeris (EFL) bukan satu bebanan, sebaliknya dorongan motivasi kepada Liverpool yang terpaksa mengharungi jadual padat musim ini.

The Reds terpaksa mengharungi jadual ketat selepas mara ke perlawanan akhir EFL selain masih kekal sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) serta masih bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala FA.

Jadual perlawanan yang padat adalah mimpi ngeri kepada mana-mana pengurus kerana ia menjejaskan kestabilan pasukan terutamanya membabitkan isu kecergasan dan kecederaan pemain.

Namun bagi Slot, setiap pertandingan adalah penting dan mahu pemainnya memberikan aksi terbaik apabila diberikan peluang beraksi.

“Saya tidak menganggap EFL kurang penting kerana inilah masanya untuk saya menurunkan pemain yang kurang mendapat minit permainan.

“Ini memberikan saya banyak pilihan, sama ada mahu merehatkan pemain utama atau memasukkan mereka yang kerap memanaskan bangku simpanan.

“Dan jika anda datang ke negara ini, anda perlu tahu mengenai sejarah EFL dan juga Piala FA.

“Memang betul reputasi Piala FA lebih tinggi berbanding EFL tetapi tetap kedua-duanya trofi yang perlu dimenangi,” ujar Slot.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan separuh akhir kedua di Anfield itu, The Reds bangkit bergaya daripada kekalahan separuh akhir pertama dengan membelasah Tottenham Hotspur 4-0 (agregat 4-1) untuk mara ke final EFL di Wembley pada 16 Mac ini.

Cody Gakpo, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk menjaringkan gol untuk The Reds, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengurus Spurs, Ange Postecoglou.

Liverpool kekal pada landasan untuk merebut empat gelaran dalam musim debut impian Slot.

Mereka menikmati kelebihan enam mata di puncak EPL, mara ke pusingan 16 terakhir UCL dan akan menentang pasukan Liga Kejuaraan, Plymouth dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!