Penggantungan penggunaan helikopter tidak jejaskan projek ECRL

PUTRAJAYA - Penggantungan penggunaan helikopter kedua yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di tapak projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bentong tidak akan menjejaskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggantungan tersebut bersifat sementara apabila berlaku sesuatu insiden.
"Saya rasa tidak (jejaskan projek) dan kerja-kerja ECRL diteruskan," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Terdahulu, TNB mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di tapak projek TNB di kawasan Bentong.
Ia susulan insiden kemalangan helikopter di tapak pendaratan berhampiran Bentong, Pahang, pada pagi Khamis yang menyebabkan seorang jurutera maut.
Dalam satu kenyataan, konglomerat itu memaklumkan mereka akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden tersebut.
Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar 10.39 pagi itu menyebabkan helikopter tersebut terbakar 100 peratus dan berjaya dikawal serta padam sepenuhnya jam 11.06 pagi.
Helikopter berkenaan dipercayai sedang melakukan kerja-kerja keudaraan yang mengangkat underslung bagi tujuan pemasangan kabel projek TNB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

