Helikopter terhempas, hilang kawalan ketika hendak mendarat

Kesan kebakaran pada sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis. Gambar kecil: Zaiham
Kesan kebakaran pada sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis. Gambar kecil: Zaiham
A
A
A

BENTONG - Helikopter Bell 206L4 dengan nombor pendaftaran PK-ZUV terhempas di tapak perkhemahan di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, di sini, ketika berada pada ketinggian 0.9 meter sebelum cuba mendarat, pada Khamis.

Kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu mengakibatkan seorang lelaki warga Indonesia yang bertugas sebagai jurutera Finsen Resky Sembiring, 27 maut, manakala juruterbang yang juga warga Indonesia iaitu Kustiyadi, 44, selamat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, helikopter itu terhempas ketika hendak mendarat bagi mengisi minyak selepas terbang dari sebuah tapak projek sejauh 16 kilometer dari tapak projek.

Kesan kebakaran pada sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis.
Kesan kebakaran pada sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis.

"Bagaimanapun, ketika hendak mendarat pada ketinggian tiga kaki (kira-kira 0.9 meter), skid (kaki) helikopter bergesel dengan tempat pendaratan dan terbalik sebelum berlaku kebakaran.

"Insiden itu menyebabkan seorang jurutera warga Indonesia yang berada di tapak pendaratan terkena libasan bilah kipas helikopter itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, semasa kejadian hanya seorang juruterbang berada di dalam helikopter.

Katanya, juruterbang itu sempat diselamatkan dan ditarik keluar oleh saksi kejadian yang juga pengawal keselamatan di lokasi itu.

"Tiada kecederaan parah pada juruterbang terbabit, difahamkan cedera ringan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Lokasi kejadian sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis.
Lokasi kejadian sebuah helikopter yang terhempas dalam kejadian di Batu 9, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Bentong pada Khamis.

Zaiham berkata, kedua-dua mangsa termasuk yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

"Polis sedang menunggu pegawai dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan, untuk menjalankan siasatan secara terperinci mengenai punca nahas berkenaan," ujarnya.

Selain pihak polis, turut berada di lokasi ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Tinjauan di lokasi mendapati pintu masuk lokasi kejadian dikawal anggota polis.

Kira-kira 20 petugas media berada di lokasi kejadian bagi mendapatkan perkembangan terkini kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!