X

Kindly register in order to view this article
!

Petisyen online pecat Tommy Thomas dapat 18,000 sokongan

Tangkap layar petisyen dalam talian mendesak Tommy dipecat yang dilancarkan di change.org sejak semalam.
A
A

SHAH ALAM - Satu petisyen atas talian yang mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dipecat serta-merta dilancarkan semalam susulan keputusan beliau tidak meneruskan pendakwaan ke atas 12 individu yang didakwa menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Petisyen itu dilancarkan di laman change.org kira-kira jam 5 petang semalam dan sehingga jam 11.30 pagi ini ia mendapat hampir 18,000 sokongan.

Petisyen berkenaan dimuat naik oleh netizen yang menggunakan nama Jumpa Kat Mahkamah Official.

Menerusi desakan itu, pengguna terbabit mendakwa keputusan Tommy tidak meneruskan pendakwaan kepada kesemua tertuduh bercanggah dengan pendirian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penyokong petisyen terbabit, Mohamad Zaini Ahmad berkata, keputusan yang dibuat Tommy seolah-olah memperlekeh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memalukan Jabatan Peguam Negara.

"Guna kuasa budi bicara. Justifikasi yang tidak berpijak di bumi nyata. Guna logik pemikiran dan andaian semata-mata. Rasis dan berpihak kepada penjenayah dan ahli politik," tulisnya sebagai respons terhadap sokongan yang dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu

Kelmarin, Tommy memutuskan prosiding perbicaraan terhadap 12 individu terbabit dihentikan berkuatkuasa serta-merta.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Dalam kenyataan sebanyak 11 muka surat, Tommy menegaskan keputusan dibuat mengikut kuasa budi bicara.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara tiada kuasa, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, Tommy tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah kuasa beliau sebagai Menteri Dalam Negeri.

Katanya, KDN mempunyai asas kukuh mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus