Sindiket proses minyak sawit mentah di Kulai tumpas

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya melumpuhkan sindiket pengumpulan dan memproses minyak sawit mentah di kawasan sebuah premis tidak bernombar di Air Bemban, Kulai, pada Khamis.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan menerusi Op Taring Landai Khas Tahun Baharu Cina pada jam 10 pagi itu dilakukan bersama penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan.
Menurut beliau, hasil daripada serbuan dilakukan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 yang dipercayai merupakan pengusaha premis.
"Dalam operasi tersebut juga kita telah merampas 171 IBC tank berisi minyak sawit anggaran isipadu 170,400 liter, 52 IBC tank, empat skid tank, sebuah treler, dua buah gallon tank, dua forklif dan tiga unit hose.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.49 juta," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurut Kumar, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 5, Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen dan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 201).
"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada penguat kuasa MPOB untuk tindakan selanjutnya.
"Polis Johor terus komited dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan ekonomi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

