Tukar nama 'Aussie Trump' demi cari perhatian

SYDNEY - Seorang ahli politik di Australia mengubah namanya secara rasmi kepada 'Aussie Trump' sebagai tanda protes terhadap Parti Buruh yang memerintah negara itu.
Ben Dawkins yang merupakan anggota parti bebas di Parlimen Australia Barat (WA) yang mana Buruh turut memegang majoriti di dewan itu.
"Saya melancarkan protes politik terhadap kezaliman dan korupsi sistematik kerajaan Buruh di WA," katanya menerusi catatan di platform X dan menggelar dirinya sebagai 'Aussie'.
"Undi keluar Buruh! Drill Baby Drill," ujarnya menerusi catatan kedua mengulangi rancangan kontroversi Presiden Donald Trump untuk meningkatkan pengekstrakan minyak dan gas di Amerika Syarikat (AS).
Nama terbaharu Dawkins yang dipaparkan pada laman web Parlimen juga sudah dikemaskini sebagai Austin (Aussie) Letts Trump.
Beliau turut memuat naik gambar menunjukkan dokumen sah dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Kelahiran, Kematian dan Perkahwinan tentang pertukaran nama itu.
Aussie Trump disingkirkan daripada Buruh pada 2023 kerana melanggar beberapa perintah sekatan keganasan rumah tangga.
"Tindakannya jelas mahu mencari perhatian. Saya tidak pasti sejauh mana beliau boleh pergi," sindir Ketua Menteri WA, Roger Cook yang memimpin Buruh di negeri berkenaan.
Buruh berdepan pilihan raya negeri pada bulan depan sebelum pemilihan persekutuan yang dijadualkan pada Mei 2025. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!