Ustaz Husam terpaksa tutup pusat tahfiz angkara khianat

SHAH ALAM - Pusat Maahad Tahfiz Ar-Riyaadah di bawah kelolaan pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 34, berkemungkinan terpaksa ditutup akibat sabotaj pihak tertentu.
Ahmad Husam berkata, penutupan tersebut dilakukan selepas sekumpulan aktivis politik membuat laporan polis terhadap premis berkenaan sehinggakan akaun bank yang diguna pakai bagi membiayai pusat pengajian itu dibekukan.

“Rasanya maahad tahfiz ini sudah tidak lama, sebulan atau dua bulan lagi saya tutup operasi sepenuhnya. Sebab ada macam-macam masalah, saya pun tidak larat.
“Saya akan maklumkan kepada anak-anak yatim dan asnaf, tok-tok pondok serta fakir miskin yang saya jaga.
“Macam-macam orang kacau, tidak puas hati nak duit kami buat laporan polis. Nak duit anak yatim atau duit pelajar tahfiz pergi buat laporan polis. Sekarang akaun kami kena beku,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 5 November tahun lalu, seorang aktivis politik antara tiga lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu didakwa meminta wang daripada seorang pendakwah selebriti kononnya bagi membantu menyelesaikan kes pengubahan wang haram (AMLA) yang dalam siasatan polis.
Difahamkan, ketiga-tiganya ditahan antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang dalam operasi sekitar Bedong, Sungai Petani dan di Pejabat SPRM Kedah.
Susulan itu, Ahmad Husam memaklumkan, pihaknya terpaksa membuat laporan kepada SPRM kerana tidak tahan dengan gangguan daripada kumpulan berkenaan.
Bukan itu sahaja, jelasnya, beliau terpaksa menjual tanah dan membuat pembiayaan semula kediaman bagi membiayai kos operasi termasuk membayar gaji kakitangan.
Katanya lagi, pusat tahfiz di Alor Setar juga terpaksa ditutup selama dua minggu kerana tidak mampu membayar bil elektrik yang dipotong susulan pembekuan akaun.
“Penjelasan ini penting supaya orang ramai memahami situasi yang berlaku kerana operasi pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas menggunakan sumbangan orang ramai.
“Bagaimanapun, saya akan berusaha mempertahankan pusat tahfiz yang dibina sekian lama itu agar terus beroperasi,“ ujar Ahmad Husam lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!