Kecewa pun tak guna!

JENDELA perpindahan Januari telah ditutup dan Arsenal tidak menambah penyerang baharu sebelum tamat tempoh pendaftaran jam 11 malam pada Isnin.
The Gunners kekurangan penyerang akibat kecederaan yang menimpa Bukayo Saka dan Gabriel Jesus.
Saka berehat sekurang-kurangnya sehingga Mac selepas menjalani pembedahan hamstring, manakala Jesus pula mengalami kecederaan ligamen krusiat anteior (ACL) dan disisihkan untuk beberapa waktu.
Dengan hanya Kai Havertz, Leandro Trossard, Gabriel Martinelli dan Raheem Sterling termasuk Ethan Nwaneri yang tersedia sebagai pilihan, jentera serangan Arsenal tampak kurang meyakinkan.
Aktiviti yang suram sepanjang jendela perpindahan Januari mencetuskan rasa kurang senang peminat The Gunners dengan sebahagian besarnya mempersoalkan pendekatan kelab dalam memancing pemain.
Malah, ada peminat yang tidak berpuas hati dengan cara Arsenal menangani rundingan untuk mendapatkan Ollie Watkins dari Aston Villa selepas bidaan bernilai 60 juta pound (RM332.76 juta) pada minggu lalu ditolak.
Sebahagian peminat pula keliru dengan pendekatan Arsenal kerana banyak pilihan yang boleh diterokai oleh kelab, dengan mengatakan tiada gunanya untuk Arteta berasa kecewa disebabkan kelab gagal menandatangani penyerang baharu.
Arteta yang kini dalam musim keenam bersama Arsenal menyatakan kekecewaannya disebabkan kelab gagal menambah sengat di bahagian serangan.
“Kami kecewa gagal mencari penyerang dalam perpindahan ini namun kami perlu menerimanya.
“Apabila anda mencuba yang terbaik dan melakukan sesuatu dengan proses yang betul tetapi anda tidak mencapainya, OK. Pasti ada perkara yang boleh dipelajari daripadanya tetapi kini kami perlu meneruskannya,” katanya.
Arsenal beroperasi tanpa bekas pengarah sukan mereka, Edu yang meletak jawatan pada November selepas memainkan peranan penting dalam polisi perpindahan mereka sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
