MyAQSA lakar sejarah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan MyAQSA (MyAQSA) melakar sejarah apabila diterima oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai Amicus Curiae (Sahabat Mahkamah) bagi membantu untuk mengemukakan hujah terhadap jenayah perang Israel terhadap Palestin.

Ketua Pasukan Peguam MyAQSA, Lukman Sheriff Alias berkata, pihak ICC telah meminta MyAQSA untuk menyediakan hujah yang berkaitan dan perlu dihantar sebelum 16 Mac nanti.

"Ini adalah satu cabaran yang besar buat MyAQSA kerana tujuh negara dan berpuluh organisasi yang lain juga telah membuat permohonan yang sama tetapi berhujah untuk menyokong Israel.

"Antara negara yang bakal berhujah untuk menyokong Israel adalah Jerman, Austria, Australia, Hungary, Republik Czech, Uganda dan Brazil.

"Agak menyedihkan apabila tiada negara termasuk negara Islam yang memohon secara bersendirian untuk mencelah bagi menyokong Palestin melainkan melalui pertubuhan OIC dan Liga Arab sahaja," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Disember 2019, Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda telah mengumumkan secara rasmi pada 20 Disember 2019 untuk memulakan siasatan rasmi, seterusnya mendakwa Israel atas kesalahan jenayah perang yang telah dan sedang mereka lakukan terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.

Namun, sebelum siasatan dan pendakwaan rasmi dapat dilakukan ke atas Israel, pihak pendakwa raya telah memohon kepada Kamar Pra Perbicaraan ICC untuk menentukan dengan jelas sama ada ICC mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin berdasarkan peruntukan Artikel 19(3) Statut Rom.

Ini kerana Israel tidak menjadi ahli kepada Statut Rom, manakala Palestin pula dipertikaikan status dan kedaulatan negaranya.

Artikel Berkaitan:

Kamar Pra Perbicaraan itu akan diketuai Hakim Péter Kovács bersama dua orang lagi, Hakim Marc Perrin de Brichambaut dan Hakim Reine Alapini-Gansou

Justeru, MyAQSA telah mengambil satu lagi langkah proaktif bagi membantu perjuangan rakyat Palestin dengan memohon kebenaran untuk bertindak sebagai amicus curiae.

Permohonan itu akan membolehkan MyAQSA membantu ICC dengan mengemukakan hujah bahawa Palestin adalah sebuah negara yang berdaulat dan dengan itu ICC mempunyai bidang kuasa mutlak untuk menyiasat, seterusnya mendakwa Israel atas perbuatan jenayah mereka selama ini.

Sementara itu, Lukman Sheriff berkata, mereka yakin dapat berhujah untuk membuktikan bahawa Palestin adalah sebuah negara yang berdaulat bersama organisasi lain termasuk individu-individu pakar perundangan mereka.

Sehubungan itu, MyAQSA telah membentuk satu pasukan khas yang terdiri daripada peguam dan pensyarah undang-undang yang terkenal serta berpengalaman luas dalam bidang perundangan antarabangsa, antaranya Lukman Sheriff sendiri yang merupakan peguam dan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkap Profesor Perundangan Antarabangsa, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Selain itu, Pensyarah Undang-Undang di Kulliyyah Undang-Undang, Ahmad Ibrahim, Profesor Madya Mohd Hisham Mohd Kamal, peguam yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, Azril Mohd Amin; Pensyarah Kanan Perundangan Jenayah Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan.

Turut tersenarai ialah dua orang peguam, Ahmad Edham Abdulwani dan Wan Rohini Wan Daud.