Sangka selesema biasa, rupanya hidap penyakit sinus kronik

Aimie Nadia (kanan) dan anaknya Nur Faziqqyah Alina (kiri). (Gambar kanan: Nur Faziqqyah Alina yang menghidap penyakit Sinusitis atau radang pada rongga sekitar saluran hidung tahap kronik.)
Aimie Nadia (kanan) dan anaknya Nur Faziqqyah Alina (kiri). (Gambar kanan: Nur Faziqqyah Alina yang menghidap penyakit Sinusitis atau radang pada rongga sekitar saluran hidung tahap kronik.)
A
A
A

SHAH ALAM - Disangkakan demam dan selesema biasa, seorang ibu berasa terkejut dan sedih apabila mendapati anaknya menghidapi penyakit Sinusitis atau radang pada rongga sekitar saluran hidung tahap kronik hingga membahayakan nyawa.

Suri rumah, Aimie Nadia Zahruddin, 33, berkata, anaknya, Nur Faziqqyah Alina Mohd Faizul, 8, sering mengalami demam, selesema dan kegatalan pada bahagian hidung sebelum disahkan doktor menghidap penyakit kronik Sinusitis.

“Sebelum ini memang ada perasan dia selalu garu hidung, kalau demam dan selesema sampai sebulan dua kali. Sampailah 28 Januari baru-baru ini, anak mengadu demam, sakit kepala dan sakit di bahagian kening.

Nur Faziqqyah Alina yang ketika ini dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya.
Nur Faziqqyah Alina yang ketika ini dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya.

“Saya dan suami mula bawa ke klinik berdekatan, kemudian doktor nak rujuk kepada hospital. Ketika itu matanya sudah bengkak sebelah kiri dan ini kali pertama jadi seperti itu.

“Pada 31 Januari, dia dimasukkan ke hospital dan ketika itu matanya sudah membengkak sampai ke dahi dan sampai satu tahap mata sebelah kanan juga membengkak. Bukan itu sahaja, ada ketika yang anak cakap dia nampak mama ada tiga, bermaksud penglihatannya juga terganggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Aimie Nadia yang menetap di Johor Bahru itu berkata, doktor memberitahu keadaan itu berlaku kerana ketiga-tiga bahagian sinus atau rongga bahagian sekitar hidung anaknya telah bernanah.

Jelasnya, pembedahan terpaksa dilakukan dengan kadar segera untuk menyedut buang cecair nanah agar tidak merebak ke bahagian otak.

Artikel Berkaitan:

“Doktor ada cakap kalau lambat untuk pembedahan, takut nanah akan merebak ke otak, kalau nanah sudah merebak ke otak lagi bahaya... boleh pulih tetapi mungkin keadaan tak akan sama.

Keadaan Nur Faziqqyah Alina sebelum melakukan pembedahan dengan keadaan mukanya yang semakin teruk.
Keadaan Nur Faziqqyah Alina sebelum melakukan pembedahan dengan keadaan mukanya yang semakin teruk.

“Penyakit ini merebak dengan sangat cepat, bayangkan dalam masa empat hari sahaja sudah membengkak dengan banyak,” ujarnya.

Berkongsi mengenai keadaan anaknya ketika ditimpa penyakit itu, Aimie Nadia berkata, Nur Faziqqyah Alina seperti kemurungan dan tidak dapat menerima kenyataan keadaan mukanya membengkak sebegitu.

“Saya nampak dia banyak diam, kemudian dia cakap, kenapa muka adik macam ini... adik tak mahu muka macam ini.

“Sebagai ibu, saya tak tipu saya banyak menangis, risau tengok keadaan dia macam itu. Saya tidak menyalahkan takdir cuma saya salahkan diri sebab leka. Kenapa masa dia garu hidung, demam banyak kali saya tidak periksa betul-betul?” tambahnya.

Berkongsi mengenai keadaan anaknya sekarang, Aimie Nadia berkata, doktor berjaya mengeluarkan cecair nanah yang berada pada muka Nur Faziqqyah Alina dan bengkaknya juga sudah beransur pulih.

Ibu kepada tiga anak itu turut berkongsi nasihat terhadap ibu bapa agar tidak mengambil mudah kesihatan anak-anak walaupun mereka hanya mengalami demam biasa.

“Jangan sambil lewa tambah lagi sekarang macam-macam penyakit. Mungkin anak demam biasa tetapi kena ambil tahu juga, jangan leka dan rajinkan membaca,” ujarnya.

@sinarharianonline

Disangkakan demam dan selesema biasa, seorang ibu berasa terkejut dan sedih apabila mendapati anaknya menghidapi penyakit Sinusitis atau radang pada rongga sekitar saluran hidung tahap kronik hingga membahayakan nyawa. Suri rumah, Aimie Nadia Zahruddin, 33, berkata, anaknya, Nur Faziqqyah Alina Mohd Faizul, 8, sering mengalami demam, selesema dan kegatalan pada bahagian hidung sebelum disahkan doktor menghidap penyakit kronik Sinusitis. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #SinarTerkini #Selsema #Kesihatan

News, news, seriousness, tension(1077866) - Lyrebirds music

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!