Bersatu keluar PH mungkin spekulasi, kata Johari

Johari Abdul
Johari Abdul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul menyifatkan ugutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) hanya spekulasi.

Johari berkata, beliau sendiri tidak mengetahui sebarang perkara yang terjadi dalam mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin dan persoalan mengenai dakwaan itu perlu diajukan kepada pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya tidak ada dalam mesyuarat itu. Tiada siapa yang beritahu mengenainya (Bersatu ugut mahu keluar PH). Saya hanya dapat tahu perkara itu daripada media dan tiada maklumat yang sebenar, mungkin ia hanya satu spekulasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas berhubung laporan sebuah portal semalam yang melaporkan bahawa pemimpin PH terutama daripada Amanah dan DAP menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu dalam mesyuarat tersebut dikatakan telah memberi amaran bahawa parti itu mungkin mempertimbangkan untuk keluar daripada PH sekiranya mereka terus menekan Dr Mahathir.

Sekiranya Bersatu keluar daripada PH, bermakna pakatan tersebut akan kehilangan 26 kerusi dan mungkin boleh jatuh sekiranya sebahagian ahli parlimen PKR yang menyokong Dr Mahathir turut keluar parti.

Artikel Berkaitan: