RM6.2 juta kerugian akibat penipuan pada Januari di Pahang

KUANTAN - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang membuka 232 kertas siasatan berkaitan penipuan (scam) dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM6.02 juta sepanjang tempoh Januari tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah itu, 84 jumlah kertas pertuduhan dengan mencapai peratusan pertuduhan keseluruhan sebanyak 42.9 peratus.
"Daerah Temerloh mencatatkan peratus pertuduhan tertinggi sebanyak 86.7 peratus diikuti dengan Raub sebanyak 66.7 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan bagi Februari Tahun 2024 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di pekarangan IPK Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah merekodkan 1,383 tangkapan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya, enam individu yang terlibat kegiatan pengedaran dadah ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Keganasan (LLPK) 1985.

"Pelbagai jenis dadah dirampas dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM316,324 berbanding RM145,514 pada Januari 2024.
"Turut disita ialah pelbagai jenis harta hasil kegiatan pengedaran dadah yang berjumlah RM309,279," katanya.
Beliau memberitahu, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952), daerah Kuantan menyumbang kepada pertuduhan tertinggi iaitu 19 pertuduhan daripada 52 kes direkodkan.
Menyentuh mengenai Ops Selamat 23, Yahaya memberitahu bahawa setakat ini, 383 kes kemalangan dan empat kes kemalangan maut telah direkodkan.
Katanya, sebanyak 7,074 saman telah dikeluarkan dengan kesalahan terbanyak adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
"Saya ucapkan tahniah kepada daerah Raub yang dinobatkan sebagai Johan Daerah Terbaik seluruh Malaysia, manakala Kontinjen Pahang berada di kedudukan kelima terbaik bagi Ops Selamat 23.
"Penilaian ini dibuat melalui sistem Ops Selamat dengan mengambil kira jumlah kemalangan, jumlah pengeluaran saman, kehadiran anggota di kawasan rondaan dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

