Gadai maruah dijerat 'Daniel'

Seramai 7,200 individu dianggarkan telah menjadi mangsa 'love scam'. Gambar hiasan
Seramai 7,200 individu dianggarkan telah menjadi mangsa 'love scam'. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perkenalan singkat menerusi aplikasi sosial akhirnya membawa kepada detik hitam dalam hidup seorang gadis berusia 19 tahun.

Berkongsi kepada Sinar Harian, Aina (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka hubungan yang dijalinkan kononnya atas dasar cinta itu menjerat dirinya.

Aina berkata, segalanya bermula dengan mesej mesra daripada seorang lelaki yang menggunakan nama profil 'Daniel' di salah satu aplikasi sosial popular.

“Dia sangat baik pada mulanya, kami berbual tentang banyak perkara antaranya hobi, keluarga dan impian masa depan, dia buat saya rasa selesa dan percaya dengannya.

“Selepas beberapa minggu berkomunikasi, saya mula menganggap Daniel sebagai rakan karib, malah saya juga berkongsi gambar serta video peribadi yang tidak sepatutnya atas dasar percaya kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun jelas Aina, keadaan berubah menjadi mimpi ngeri apabila Daniel mula menunjukkan sisi gelapnya.

“Awalnya dia mendakwa gambar dan video itu sekadar untuk melepaskan rindu yang membara terhadap saya.

“Lama kelamaan saya mula curiga dengan sikapnya, saya persoalkan tindakan dia yang kerap meminta gambar dan video sedemikian,” katanya.

Aina berkata, Daniel berang dengan asakan tersebut dan mula menghantar mesej berunsur ugutan dan berani meminta wang darinya.

Artikel Berkaitan:

“Dia meminta saya memberikan wang tunai sebanyak RM2,000. Andai saya ingkar, gambar peribadi yang pernah dikongsikan akan disebarkan kepada ahli keluarganya dan rakan-rakan.

“Saya sangat terkejut dan takut kerana Daniel mendakwa dia tahu tempat tinggal saya dan dia akan lakukan sesuatu jika saya buat laporan,” katanya.

Ujar Aina, dirinya yang panik cuba meminta belas kasihan, namun Daniel tidak mengendahkannya, malah ugutannya semakin menjadi-jadi.

“Daniel mula menunjukkan sikap agresif selain menghantar mesej bertalu-talu, termasuk gambar saya sebagai bukti ugutannya.

“Selepas berhari-hari dibelenggu ketakutan, saya akhirnya memberanikan diri untuk kongsi kejadian itu dengan kakak dan dengan sokongan keluarga, saya tampil buat laporan polis,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan dia mula menyalahkan diri sendiri dan menyesali perbuatannya itu.

“Pada mulanya saya malu dan takut orang lain akan menyalahkan saya, tapi kakak saya kata, ini bukan salah saya, dia yang mengambil kesempatan.

“Lama kelamaan saya kumpul kekuatan untuk bangun semula, mujurlah juga keluarga sentiasa bantu memberikan semangat kepada saya,” katanya.

Kata Aina, apa yang berlaku ini diharap dapat jadi pengajaran kepada golongan muda di luar sana.

“Saya akui semua ini berlaku atas kesilapan saya sendiri yang terlalu percaya dengan kata-kata manis dan pujuk rayu.

“Hati-hati dalam menggunakan aplikasi sosial, silap penggunaannya boleh musnahkan masa depan diri sendiri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!