Penganggur dipenjara sebulan, denda RM3,800 ceroboh rumah, cederakan warga emas
Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna ungu kelihatan tenang dan mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.

KUALA SELANGOR - Seorang penganggur dipenjara sebulan dan denda RM3,800 di Mahkamah Majistret di sini selepas menceroboh rumah dan menumbuk wanita warga emas pada Selasa lalu.
Tertuduh, Shamsul Atin, 34, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Tertuduh yang memakai pakaian lokap berwarna ungu kelihatan tenang dan mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa dengan sengaja melakukan pencerobohan jenayah ke atas rumah Kamsiah Sharif, 73.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu dengan menumbuk mata dan mulut kiri mangsa dengan menggunakan tangan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan di sini kira-kira jam 3 petang pada 28 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 448 dan 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Siti Hajar dalam penghakimannya memberitahu, kes itu melibatkan dua pertuduhan berasingan dan tertuduh didapati bersalah.
"Bagi hukuman pertama (ceroboh), tertuduh didenda RM2,800 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
"Tuduhan kedua pula, tertuduh dipenjara sebulan dan denda RM1,000 tetapi jika tidak gagal bayar denda tambahan sebulan penjara," ujar beliau.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan dan kesan trauma dialami mangsa.
Sementara itu, Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan memohon hukuman diringankan.
Ujar beliau, tertuduh mempunyai tanggungan ibunya yang uzur dan sudah menyesali perbuatan terbabit.
Di mahkamah sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,300 selepas mengaku bersalah memasukkan dadah dalam badan pada 4 September tahun lalu.
Kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dilakukan di pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Selangor, kira-kira jam 12.10 tengah hari Isnin.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, polis giat memburu seorang lelaki dipercayai dapat membantu siasatan kes seorang wanita berusia 73 tahun mengalami kecederaan selepas ditumbuk seorang lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan di sini pada Selasa.
Wanita yang baharu kematian suami pada 1 Januari lalu itu parah selepas didakwa dipukul seorang lelaki dikenalinya dan kini dirawat di Hospital Tanjong Karang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

