Perang tarif bermula, PM Kanada beri amaran rakyat AS bakal hilang pekerjaan

Justin Trudeau
Justin Trudeau
A
A
A

OTTAWA - [DIKEMAS KINI] Kanada mengingatkan bahawa tarif atau cukai import dikenakan ke atas negara itu bakal memberi kesan kepada sektor pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) khususnya industri pemasangan kenderaan dan pembuatan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, ia susulan pelaksanaan tarif sebanyak 25 peratus barangan dari Kanada bernilai 30 bilion dolar Kanada.

"Tarif terhadap Kanada akan mengancam pekerjaan rakyat AS, malah berpotensi menutup kilang pemasangan kenderaan serta kemudahan pembuatan lain di sana.

"Kos kehidupan akan meningkat, termasuk harga makanan di kedai runcit serta harga minyak di stesen pam,” katanya dalam satu ucapan lewat malam dari Parlimen di sini, pada Sabtu.

Trudeau turut mengingatkan tentang pengorbanan bersama yang dilalui kedua negara itu dari pertempuran di pantai Normandy hingga ke medan perjuangan di Kandahar, Afghanistan.

“Kanada selalu memberikan sokongan termasuk peristiwa serangan 11 September 2001 apabila negara kami ke depan memberi perlindungan kepada penumpang dan pesawat yang terkandas.

"Kami sentiasa berdiri teguh dan berduka bersama anda. Kedua-dua negara telah membina perkongsian ekonomi, ketenteraan malah keselamatan yang paling berjaya di dunia,” ujar Trudeau.

Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump menandatangani arahan pelaksanaan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada, serta 10 peratus ke atas produk dari China. Sumber tenaga dari Kanada akan dikenakan kadar tarif yang lebih rendah, iaitu 10 peratus.

Justeru, Kanada akan memulakan langkah tarif pertama melibatkan pelbagai produk pengguna dan bahan dari AS seperti penjualan minuman beralkohol, jus buah-buahan, sayur-sayuran serta minyak wangi.

Artikel Berkaitan:

Pakaian, kasut, barangan rumah, perabot dan peralatan sukan turut dikenakan tarif berkuat kuasa pada hari Selasa, manakala langkah tambahan dijangka berlaku selepas tempoh konsultasi awam selama 21 hari.

Dalam pada itu, bekas Gabenor Bank England, Mark Carney turut menyokong langkah Perdana Menteri Kanada itu dengan menggambarkan Trump sebagai seorang pembuli. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!