Cuaca sejuk tidak beri kesan pada susu getah

MACHANG - Cuaca sejuk di negeri Kelantan yang menyebabkan suhu menurun sehingga 18 darjah celcius di beberapa daerah tidak menjejaskan pengeluaran susu getah.
Beberapa penoreh getah yang ditemui memberitahu suhu sejuk di daerah ini tidak memberi kesan kepada kualiti susu getah walaupun dikatakan cepat membeku berbanding dalam cuaca biasa.
Seorang penoreh getah di Kampung Pertok, Rogayah Abdullah, 55, berkata, perubahan cuaca yang ketara ketika ini tidak memberi masalah kepada pokok itu malah tetap mengeluarkan susu getah sehingga jam 3 hingga 4 petang.
"Cuaca sejuk bukan masalah kepada pengeluaran susu getah dan kami juga masih menoreh seperti biasa," katanya ketika ditemui di kebun getah di kampung berkenaan pada Ahad.

Rogayah yang menoreh getah di kebunnya seluas 1.6 hektar sejak 10 tahun lalu memberitahu, suhu sejuk ketika ini membolehkan dia selesa ke kebun memandangkan tidak cepat berpeluh.
Menurutnya, pokok getah mula kurang mengeluarkan hasil antara Mac hingga April berikutan daun gugur dan keadaan itu merupakan perkara biasa.
Sementara itu, Wan Safuan Wan Zain, 34, memberitahu banjir besar November lalu mengakibatkan banyak pokok getah di kawasan kampungnya rosak akibat ditenggelami air.
"Daun pokok getah cepat gugur, mungkin saya boleh kembali menoreh Jun depan selepas keadaan pokok kembali pulih.
"Ada juga pokok yang terpaksa ditebang kerana sudah tidak boleh mengeluarkan susu getah," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan cuaca sejuk mula dirasai di beberapa daerah di Kelantan yang menyebabkan suhu menurun antara 18 hingga 19 darjah celsius sejak seminggu lalu.
Antara daerah yang ketara mengalami cuaca sejuk ialah Kuala Krai yang didakwa mengalami cuaca paling sejuk dalam tempoh 11 tahun selepas banjir besar melanda pada 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
