Kuala Krai, Kelantan alami cuaca paling sejuk dalam tempoh 11 tahun
KOTA BHARU - Cuaca sejuk mula dirasai di beberapa daerah di Kelantan yang menyebabkan suhu menurun antara 18 hingga 19 darjah celcius sejak seminggu lalu.
Antara daerah yang ketara mengalami cuaca sejuk ialah Kuala Krai yang didakwa mengalami cuaca paling sejuk dalam tempoh 11 tahun.
Ada penduduk yang berkongsi di media sosial cuaca berkenaan menyamai suhu sejuk Cameron Highlands pada awal pagi dan keadaan berkabus sehingga tengah hari.
Penghulu mukim Kuala Nal, Abd Samad Che Yajid berkata, cuaca sangat sejuk itu pernah berlaku selepas banjir besar melanda pada 2014.
"Keadaan sama berlaku tahun ini dengan suhu 18 darjah celsius," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai cuaca sejuk di Kuala Krai terutama pada waktu pagi dan keadaan masih berkabus walaupun jam 11 pagi.
Suri rumah dari Kampung Budu, Che Rabihah Musa, 43, pula berkata, cuaca sejuk di kampungnya berlaku sejak dua minggu lalu berikutan berada di kawasan berdekatan bukit.
Katanya, setiap hari suhu di kampung itu ialah antara 19 hingga 20 darjah celsius pada waktu malam dan awal pagi tetapi kembali pada suhu biasa pada tengah hari.
"Saya boleh katakan sejuk yang luar biasa sehingga terasa seperti berada di Cameron Highlands," katanya.
Bagaimanapun katanya, perubahan itu berlaku setiap kali selepas banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
