Belajar daripada sastera Perancis

Karya Michel de Montaigne tersohor sebagai penulis esei dan kritikan tajam.
Karya Michel de Montaigne tersohor sebagai penulis esei dan kritikan tajam.
A
A
A

SELAIN tradisi sastera Greek, sastera Perancis mendominasi sastera dunia. Memiliki sejarah sastera yang panjang dan lama, juga menjadi pusat mahakarya pada abad ke-17 hingga abad ke-20. Karya agung lahir di Perancis dan membuatkan bandar Paris menjadi bandar sastera dan ramai sasterawan dunia melakukan ziarah dan migrasi ke Paris.

Seseorang pengarang yang hendak menjadi besar, terpaksa belajar bahasa Perancis dan cuba mengamalkan kepengarangan gaya Perancis. Kota-kota besar lainnya seperti Moscow dan London hanya menjadi pemerhati sahaja di waktu itu. Dan belajar menjadi kota sastera. Kita pun patut belajar daripada Perancis itu, bagi membina tamadun sastera kita.

Pemerintah Perancis sendiri sangat menghormati pengarang. Menjalin hubungan dan menganugerahkan pelbagai hadiah ternama, membuat pengarang berkedudukan seperti para penyair di zaman Arab Jahiliah. Suaranya didengar. Ideanya menjadi rujukan. Lalu ramai antaranya yang mempunyai jawatan tertinggi dan pembesar negara.

Sebelum abad ke-15, sastera Perancis tinggal di dalam istana. Menjadi pujaan feudalisme dan kaya dengan cerita lipur lara, epik dan roman. Bagaimanapun dunia falsafah sudah mula tumbuh dan banyak mempengaruhi kesusasteraannya. Perubahan daripada bentuk mula dianjurkan oleh falsafah, supaya sasteranya berisi pemikiran dan pengarangnya memiliki idealisme dan visi.

Chretien de Troyes (1165-1190) antara pengarang terkenal abad ke-15 banyak menghasilkan prosa dengan cerita dan roman. Teks epik dibaca peminat sastera seluruh Eropah. Karya satira seperti genre fabliaux sangat digemari golongan elit borjuis Perancis, kerana mengundang kelucuan dan moral. Sementara Charles d’Orleans (1394-1465) terkenal dengan puisi alamiah dan Francois Villon (1431-463) dengan puisi percintaan.

Abad ke-16 bermulanya zaman Renaissance, periodisai kebangkitan keilmuan, sains dan pengembaraan. Sastera penyumbang utama dengan membawa mutiara gaya zaman Greek dan Roman. Bahasa Yunani dan Latin hidup semula. Kemudian mereka gabungkan dengan genius tempatan dan lahirlah deretan karya-karya yang besar.

Sekian banyak pengarang Perancis yang terbilang, lima nama yang jadi sanjungan iaitu Francois Rabelais (1494-1533), Clement Marot (1496-1544), Joachim Du Beellay (1522-1560), Pierre de Ronsard (1524-1585) dan Michel de Montaigne (1533-1592).

Rabelais terkenal sebagai tokoh dongeng, roman, penyair dan pemikir. Watak dan ceritanya bergerak secara lucu dan menghiburkan, tetapi mengkritik pemikiran tentang kehidupan yang sedang dilalui. Marot dengan Petite Epitre, roman estetik yang menjadi kesukaan rajanya Louis dan diangkat menjadi pembesarnya. Tetapi kemudiannya tidak disukai, kerana suaranya lantang menentang ketidakadilan diraja. Pierre de Ronsard pun juga berusaha menjadi pengarang istana dengan karya feudalisme dan kebangsawanan.

Michel de Montaigne tersohor sebagai penulis esei dan kritikan yang tajam. Bukunya Essais de Messire Michel, berisi pemikiran hasil pengalaman daripada pengembaraannya. Baginya manusia tidak akan mencapai kebenaran, selagi suka bermimpi, fanatik dan kontradiksi. Pandangannya dihormati kerana relevan, signifikan dan fungsional pada era penulisannya.

Artikel Berkaitan:

Abad ke-17 adalah zaman kecemerlangan, Paris semakin terkenal seluruh dunia dengan Istana Versailles menerajui segala kegiatan bersastera. Pengarang yang ideal dan dramatis unggul lahir pada abad ini dengan tokoh-tokohnya Rene Descartes (1596-1650), Pierre Corneille (1606-1684), Jean de La Fontaine (1621-1692), Moliere (1622-1673) dan Jean Racine (1639-1699).

Descartes lebih dipandang sebagai filosuf dengan mencari kebenaran dalam bidang epistemologi. Manusia harus menguasai alam secara semula jadi. Corneille tragedian berjaya menggabungkan teater Greek dan Shakespeare. Melite drama pertama yang mengangkat namanya diikuti oleh 30 drama lainnya, yang dikerjakannya selama 40 tahun.

Moliere dan Jean Racine juga dramatis, seorang dengan komedi karikatural dan seorang lagi tragedi psikologikal. Manusia dilanda kegembiraan, tetapi sebalik peristiwa ada tragis dan air mata. Ketiga-tiganya mengangkat teater Perancis selepas Shakespeare mengangkat drama British. Menyebut Shakespeare dunia akan menyebut triple Racine, Moliere dan Jean Racine.

Abad ke-18, zaman konflik dan penghancuran sehingga 1789 terjadinya Revolusi Perancis. Jatuhnya juga monarki yang sekian lama mengatur dan menguasai hidup. Sastera berkelana di tengah masyarakat. Bagaimana pun sebelum itu lahir tokoh pengarang seperti Pierre Carlet de Camblain (1688-1763), Montesquieu (1689-1755), Voltaire (1694-1755), Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) dan Deniis Diderot (1713-1784).

Pierre Carlet de Camblain terkenal penulis esei, artikel dan kritikan sastera yang berkualiti. Kemudian menghasilkan banyak drama komedi, yang dikutipnya permasalahan hidup di kota Paris. Montesquieu belajar daripada majlis salons litteraires, kemudian berjaya menulis esei tentang sastera.

Pandangannya dihormati kerana ketajaman dan keberaniannya. Voltaire sebuah nama bagai bintang di Eropah, dengan karyanya menyusur ke dalam jiwa warganya. Dramanya dan tulisan buku awam diminati, kerana relevan dan kontemporari masyarakat abad ke-18. Jean-Jacques Rousseau bermula dengan kesukaran, akhirnya berjaya di dunia sastera dengan karyanya seperti Devin du Village dan Emile sebuah dokumentasi tentang sosial dan ekonomi Perancis.

Abad ke-19 menyaksikan ramai sasterawan seperti Standhal (1783-1841), Honore de Balzac (1799-1850), Victor Hugo (1802-1885), Gustve Flaubert (1821-1880), Emile Zola (1840 -1896) dan Guy de Maupassant (1850-1893). Ini zaman romantisisme untuk beralih ke zaman realisme.

Kesemua pengarang realis itu menjadi hebat dan ternama. Kecuali, Victor Hugo terkenal sebagai dramatis dan sasterawan romantisisme. Balzac dan Zola menjadi ikutan pengarang dunia daripada aspek realistik dan naturalistiknya. Kedua-duanya menjadi wali realisme.

Abad ke-20 adalah zaman untuk Jean-Paul Sartre (1902 - 1980), Samuel Beckett (1906-1989), Albert Camus (1913-1960) dan Alain Robbe-Grilet (1955-2008). Jean-Paul Sartre pelopor aliran eksistensialisme, Samuel Beckett pelopor surealisme, Albert Camus dalam absurdisme dan Alain Robbe-Grilet diberi gelar sebagai bapa avantgarde.

Ramai sasterawan Paris adalah profesional. Ramai yang menjadi pelopor gaya dan aliran baru. Mereka menyintai reformasi dan pembaharuan. Ramai pula yang mendapat hadiah dan anugerah dunia. Daripada Sully Prudhomme (1901) sampai Annie Ernaux (2022) sudah 16 orang mendapat Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Rahsia kejayaan sastera Perancis yang patut diteladani ialah pengarangnya bekerja kuat, tajam sensitiviti, sentiasa bersifat inovatif dan eksperimentalis. Pihak pemerintah menyediakan prasarana dan dana yang besar. Masyarakatnya pula terkenal sebagai khalayak sastera. Karya mereka dibaca di seluruh Eropah dan dunia. Tidak hairanlah sejak abad ke 17 hingga kini, sastera dunia tertumpu ke Perancis.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!