PKS perlu tingkat produktiviti untuk terus hidup

SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum RM1,700 memberi impak besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah kenaikan gaji minimum bermula Sabtu bertujuan meningkatkan taraf hidup pekerja, tetapi menimbulkan cabaran besar kepada sektor PKS yang merangkumi 1.9 juta daripada 2 juta majikan di negara ini.
“Kenaikan ini memberi kesan lebih besar kepada perniagaan kecil berbanding syarikat besar kerana kebanyakan PKS tidak mempunyai modal pusingan yang besar untuk menampung kenaikan kos operasi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Jelasnya, ramai pemilik perniagaan kecil termasuk peniaga gerai, pasar, tadika serta pusat jagaan kanak-kanak mengeluh kenaikan gaji minimum meningkatkan beban kos mereka.
“Ada pemilik tadika dan pengusaha penjagaan kanak-kanak mengadu kepada saya yang mengatakan kenaikan ini menyebabkan mereka hampir tidak dapat menampung kos operasi,” katanya.
Barjoyai turut mengimbas kembali kesan kenaikan gaji minimum sebelum ini khususnya dalam sektor keselamatan yang mengalami kerugian besar apabila gaji pekerja naik daripada RM500 kepada RM900.
“Syarikat keselamatan Melayu pernah mengalami masalah besar apabila kenaikan gaji dahulu menyebabkan mereka sukar beroperasi dan kini masalah sama dijangka berulang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kenaikan gaji perlu diiringi dengan peningkatan produktiviti, tetapi kebanyakan PKS masih bergantung kepada tenaga kerja manual dan tidak mampu mengaut faedah daripada skala ekonomi.
“PKS dan perniagaan mikro masih tidak menggunakan teknologi yang cukup untuk meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.
Bagi mengurangkan beban, beliau mencadangkan kerajaan memberikan tempoh masa lebih panjang kepada perniagaan kecil untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan ini.
“Kita boleh memberi tempoh yang lebih panjang kepada PKS untuk menyesuaikan diri dan dalam masa yang sama memberi insentif latihan kepada mereka,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengambil contoh sektor pelancongan di Langkawi, di mana kebanyakan pekerja menerima gaji sekitar RM1,200 sebelum ini.
“Kenaikan ini akan memberi tekanan besar kepada pemilik perniagaan pelancongan di Langkawi kerana mereka sukar menaikkan harga perkhidmatan dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya.
Barjoyai berkata, meskipun kerajaan telah memberikan notis lebih setahun dan menawarkan bantuan dalam bentuk latihan serta subsidi peralatan, tetapi persoalan utama ialah sejauh mana perniagaan mikro dapat bertahan dalam tempoh peralihan ini.
“Beberapa pemilik perniagaan kecil telah meminta kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan ini dan memberi mereka lebih masa untuk bersedia,” katanya.
Tambahnya, walaupun RM1,700 merupakan satu peningkatan, beliau berpendapat jumlah itu masih rendah berbanding kos sara hidup di Malaysia yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM3,000 bagi individu bujang.
“Jika kita benar-benar mahu membantu pekerja, sepatutnya gaji minimum dinaikkan ke RM2,500. Tetapi jika itu berlaku, hampir semua perniagaan mikro akan gulung tikar,” katanya.
Menurut beliau, kenaikan gaji minimum ini mencetuskan dilema antara kebajikan pekerja dan daya tahan PKS.
“Kenaikan ini boleh menyebabkan kadar penutupan perniagaan meningkat, dan akhirnya akan memberi kesan kepada pasaran pekerjaan secara keseluruhan,” katanya.
Barjoyai menyeru kerajaan dan majikan untuk mencari penyelesaian seimbang bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan kelangsungan perniagaan.
“Langkah terbaik ialah memastikan kenaikan gaji ini disertai dengan peningkatan produktiviti serta sokongan kerajaan agar sektor PKS terus berkembang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

