20 anak yatim Jengka 24 terima bantuan persekolahan

Razak (kanan) ketika menyantuni anak-anak yatim memilih keperluan mereka untuk sesi persekolahan 2025. - Foto ihsan Razak Daud
Razak (kanan) ketika menyantuni anak-anak yatim memilih keperluan mereka untuk sesi persekolahan 2025. - Foto ihsan Razak Daud
A
A
A

JERANTUT - Nasib 20 anak yatim di Felda Jengka 24 di sini mendapat perhatian dengan bantuan persekolahan bernilai RM300 seorang sempena sesi persekolahan 2025.

Kesemua mereka dibawa membeli peralatan tersebut di Pasaraya Mydin di Jengka baru-baru ini.

Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, program tersebut hasil inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan ( JKKR) Jengka 24 dan Jawatankuasa Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24

Menurutnya, pihaknya menyedari beban dan keperluan kewangan ibu atau bapa tunggal dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka.

"Buat julung kalinya, program yang telah diadakan setiap tahun ini membawa anak-anak ini ke pasar raya terbabit memilih pakaian seragam sekolah, beg, kasut dan alat tulis masing-masing.

"Malah mereka juga diberikan kebebasan memilih sendiri keperluan sekolah berbanding sebelum ini hanya diberi duit mencukupi dan beli sendiri di mana-mana kedai-kedai," katanya lagi.

Jelasnya, bantuan itu bukan sahaja menjelang sesi persekolahan pada tahun ini malah turut diberikan sempena musim perayaan.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka berkata, program itu boleh dijadikan contoh kepada pentadbiran 36 rancangan Felda Wilayah Jengka kerana selari dengan tuntutan agama Islam.

Sementara itu, Pengerusi Masjid As-Sobirin Jengka 24, Ishak Abdul Ghani, 69, berkata, sumbangan terbabit membuktikan keprihatinan masyarakat di rancangan itu terhadap golongan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap dengan bantuan ini mereka akan lebih akan bersemangat dan ceria mengikuti proses pembelajaran pada sesi persekolahan tahun ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!