Bournemouth mahu sukarkan Liverpool

KUNJUNGAN terakhir Liverpool ke Stadium Vitality pada 21 Januari 2024 bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir dengan kemenangan 4-0 buat The Reds.
Namun, kali ini ia adalah cerita yang berbeza apabila The Reds sekali lagi bertemu Bournemouth di stadium berkenaan malam ini.
Bournemouth kendalian Andoni Iraola tidak tewas dalam 11 perlawanan EPL terakhir mereka, sekali gus rekod tanpa kalah yang paling panjang musim ini.
Pengendali dari Sepanyol itu yang berada pada musim keduanya di kelab, telah melakukan tugas luar biasa walaupun terpaksa kehilangan ramai pemain akibat kecederaan termasuk Marcos Senesi, Marcus Tavernier, Luis Sinisterra, Evanilson dan Enes Unal.
The Cherries kini berada di tempat ketujuh dalam carta, namun hanya satu mata di belakang Manchester City yang berada di tempat keempat, sementara penyokong mereka bermimpi untuk menyaksikan bola sepak Eropah musim depan.
Justin Kluivert yang telah menjaringkan 11 gol EPL, kini mula keluar dari bayang-bayang bapanya, bintang Belanda Patrick Kluivert, sementara Dango Ouattara menjaringkan hatrik dalam kemenangan 5-0 ke atas Nottingham Forest minggu lalu.
Bournemouth telah mengalahkan Arsenal dan Manchester City musim ini, tetapi jika Bournemouth dapat mengalahkan Liverpool ia akan menjadi kemenangan terbesar mereka setakat ini.
Liverpool yang gah memimpin carta liga dengan mengumpul 53 mata hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan EPL musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

