'Tindakan Peguam Negara berbahaya'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sangat berbahaya untuk masa akan datang.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, alasan yang dikemukakan oleh Tommy yang mengatakan perbuatan yang dilakukan tertuduh itu sudah berlaku melebihi enam tahun adalah tidak adil kerana tiada tempoh masa dalam undang-undang melibatkan perbuatan jenayah.

"Kenyataan ini sangat berbahaya kerana memang terdapat aktiviti jenayah dan jika dilihat terdapat pertuduhan yang melibatkan ahli politik yang melakukan jenayah pada era Barisan Nasional pada tahun 2013 dan 2014. Jadi tidak boleh guna tempoh masa sebagai ukuran untuk perbuatan jenayah.

"Jenayah tetap jenayah, jika tidak salah saya bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan pernah mengatakan terdapat sasaran untuk mengebom atau mengancam keselamatan kedutaan Sri Lanka. Ini bermakna ia berada dalam pengetahuan pihak polis.

"Secara keseluruhan, saya percaya kenyataan ini bukan sahaja mengejutkan saya malah meletakkan contoh-contoh yang membahayakan pada masa akan datang

"Saya harap perkara ini dilihat semula dan serah kepada budi bicara pendakwa raya yang memulakan pertuduhan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Haniff Khatri turut membidas tindakan Tommy yang telah memalukan pegawai-pegawai di jabatan tersebut yang telah membuat keputusan untuk mendakwa kesemua individu terbabit pada Oktober tahun lalu.

"Ini tidak adil untuk Peguam Negara meletakkan pegawai-pegawai beliau dalam keadaan memalukan dengan kenyataan yang dikeluarkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Haniff Khatri berkata, tindakan Tommy juga didapati telah membelakangi kuasa Menteri Dalam Negeri kerana LTTE masih dianggap sebagai sebuah organisasi pengganas di negara ini.

"Peguam Negara telah menidakkan bahawa LTTE masih dalam senarai pengganas seolah-olah beliau ambil tugasan Menteri Dalam Negeri dan ini salah.

"Sepatutnya apa yang patut dilakukan bagi saya, Peguam Negara sepatutnya menasihati Menteri Dalam Negeri sekiranya beliau berpendapat LTTE bukan lagi suatu organisasi pengganas," katanya.

Tambah beliau, walaupun LTTE tidak lagi dianggap sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh pemerintah Sri Lanka dan juga Kesatuan Eropah namun itu tidak bermakna ia tidak boleh dihidupkan semula oleh pihak yang simpati dengan perjuangan mereka.

"Kalau macam itu, perjuangan Nazi di Jerman yang telah dibubarkan selepas kalah perang menyebabkan seluruh dunia tidak perlu lagi sensitif kepada lambang swastika dan slogan 'Hail Hitler'.

"Keganasan sebenarnya lebih kompleks kerana ia boleh dihidupkan semula jadi biarlah pihak berkuasa yang menentukan perkara ini dan Peguam Negara tidak sepatutnya membuat kesimpulan awal tentang perkara ini," ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: AG tamatkan prosiding terhadap 12 individu

LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu