'Tindakan Peguam Negara berbahaya'

SHAH ALAM - Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 individu yang didakwa terlibat dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sangat berbahaya untuk masa akan datang.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, alasan yang dikemukakan oleh Tommy yang mengatakan perbuatan yang dilakukan tertuduh itu sudah berlaku melebihi enam tahun adalah tidak adil kerana tiada tempoh masa dalam undang-undang melibatkan perbuatan jenayah.
"Kenyataan ini sangat berbahaya kerana memang terdapat aktiviti jenayah dan jika dilihat terdapat pertuduhan yang melibatkan ahli politik yang melakukan jenayah pada era Barisan Nasional pada tahun 2013 dan 2014. Jadi tidak boleh guna tempoh masa sebagai ukuran untuk perbuatan jenayah.
"Jenayah tetap jenayah, jika tidak salah saya bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan pernah mengatakan terdapat sasaran untuk mengebom atau mengancam keselamatan kedutaan Sri Lanka. Ini bermakna ia berada dalam pengetahuan pihak polis.