X

Kindly register in order to view this article
!

Pegawai Khas MP Tanjung Malim diugut bunuh

Nota ugutan bunuh yang diterima Muhamad Alif, Selasa lepas.
A
A

IPOH - Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim membuat laporan polis selepas menerima nota ugutan bunuh, Selasa lepas.

Ugutan berkenaan ditulis di atas sekeping kertas A4 dan ditemui diletakkan di cermin hadapan keretanya di tempat parkir awam di Slim River kira-kira jam 3 petang.

Muhamad Alif, 28, ketika dihubungi berkata, nota terbabit tertera perkataan 'aku bunuh kau 3 hari lagi' dengan tulisan tangan menggunakan pen 'marker' merah.

"Laporan dibuat di Balai Polis Slim River pada Rabu lalu atas faktor keselamatan diri dan ahli keluarga.

"Ini kali pertama saya menerima nota berbaur ugutan bunuh dan saya anggap ia sesuatu yang serius," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri tidak menolak kemungkinan nota ugutan bunuh itu ada kaitan dengan gerak kerja politik.

"Saya mengesyaki ia bersangkut paut dengan hal kerja dan bukan isu peribadi kerana pada 2017 lalu, saya juga pernah terima ancaman apabila cermin kereta dipecah," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh tiga hari ini, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku yang boleh dikaitkan dengan ugutan berkenaan.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada siasatan dan tindakan polis," katanya.

Muhamad Alif turut memegang jawatan sebagai Exco AMK Pusat dan menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Tanjung Malim daripada PKR, Chang Lih Kang selepas pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.