[VIDEO] Ibu solat hajat, harap anak jatuh sungai segera ditemukan

A
A
A

MACHANG - Ibu kepada pemuda yang terjatuh ke Sungai Kelantan, Muhammad Khairul Naiem Che Deraman melakukan solat hajat supaya anaknya segera ditemukan.

Mek Jah Hussin, 70, dalam nada sebak berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu disedari jatuh pada jam 2 pagi, Rabu.

“Hari ini sudah hari ketiga dia hilang.

Usaha mencari mangsa diteruskan pada hari ketiga. (Gambar kecil: Muhammad Khairul Naiem)
Usaha mencari mangsa diteruskan pada hari ketiga. (Gambar kecil: Muhammad Khairul Naiem)

“Harap dapat jumpa dan saya sendiri buat sembahyang hajat selain bacaan Yasin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Maka Jah, Labok di sini pada Jumaat.

Terdahulu, pemuda berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah kilang papan itu bersama empat rakan berehat di tebing sungai dalam jarak 20 meter dari rumah mangsa.

Mek Jah memberitahu Muhammad Khairul Naiem dikatakan bermain telefon bimbit sebelum disedari jatuh serta dikhuatiri lemas.

Kata Mek Jah, tiga hari sebelum kejadian itu, Muhammad Khairul Naiem bersikap pelik apabila pergi ke rumah kakak keduanya, Rohaida, 43, dan mengetuk tingkap semata-mata hanya mahu melihat wanita itu.

Artikel Berkaitan:

Mek Jah mengesat air mata dan berharap anaknya segera ditemukan.
Mek Jah mengesat air mata dan berharap anaknya segera ditemukan.

“Apabila Rohaida buka tingkap, Muhammad Khairul Naiem tak cakap apa-apa tetapi beritahu hanya nak tengok kakaknya itu saja,” katanya.

Mek Jah berkata, dia tidak sanggup untuk kehilangan anak buat kali kedua selepas anak sulungnya, Mohd Ridhwan Deraman meninggal dunia pada 2014 kerana penyakit darah tinggi.

Anggota PPDA bersiap sedia untuk melakukan selaman.
Anggota PPDA bersiap sedia untuk melakukan selaman.

“Saya dah sentiasa pesan pada Muhammad Khairul Naiem, kalau terkejut atau apa-apa jangan terjun sungai.

“Sebab dia tak pandai berenang,” katanya sambil menangis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga pada Jumaat disertai 16 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), lima polis, 11 Angkatan Pertahanan Awam selain dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan.

Ahmad Alfarra menunjukkan peta lokasi pencarian mangsa lemas.
Ahmad Alfarra menunjukkan peta lokasi pencarian mangsa lemas.

“Operasi membabitkan selaman bomba ke sungai sejauh 1.5 kilometer sehingga ke Jambatan Kampung Joh, manakala K9 pula melakukan pencarian dalam radius 10 kilometer sepanjang pesisir sungai.

“Selaman dilakukan bagi melihat dahulu keadaan arus dalam sungai dan jika selamat, selaman akan diteruskan bagi mencari mangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!