MB Pahang tetamu istimewa Town Hall Rakyat

Wan Rosdy bakal membuka tirai tahun ini sebagai tetamu istimewa program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian pada 5 Januari bagi membincangkan topik semasa sambil membentangkan prestasi cemerlang negeri berkenaan.
Wan Rosdy bakal membuka tirai tahun ini sebagai tetamu istimewa program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian pada 5 Januari bagi membincangkan topik semasa sambil membentangkan prestasi cemerlang negeri berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bakal membuka tirai tahun ini sebagai tetamu istimewa program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian pada 5 Januari bagi membincangkan topik semasa sambil membentangkan prestasi cemerlang negeri berkenaan.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, pemilihan Wan Rosdy atau mesra dipanggil Tok Wan sebagai tetamu semestinya disebabkan hubungan baik antara syarikat penerbitan akhbar Bahasa Melayu nombor satu tersebut dengan kerajaan negeri Pahang.

ZAMRI
ZAMRI

Bukan itu sahaja, ini kerana katanya prestasi kerajaan negeri itu mencatatkan beberapa siri kecemerlangan sejak kebelakangan ini.

“Malah, dalam Bajet Pahang 2025 baru-baru ini, beliau mengumumkan bahawa kerajaan negeri berjaya memperoleh kutipan hasil lebih RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut.

“Perkara sebegitu tidak pernah dicapai sebelum ini. Sudah tentu menerusi pentas Town Hall Rakyat, Wan Rosdy berpeluang membentangkan prestasi cemerlang itu dan juga cabaran dihadapi kerajaan negeri pada masa akan datang,“ katanya kepada pemberita pada Selasa.

Town Hall Rakyat yang diperkenalkan tiga tahun lalu bermula dengan sesi bersama menteri antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta ramai lagi.

Wan Rosdy merupakan menteri besar kedua yang menyertai sesi berkenaan selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 24 Julai 2023.

Program yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu dibuat bagi merungkai permasalahan rakyat, merangkumi tiga bahagian iaitu sesi temu bual melibatkan hos iaitu pelakon dan pengacara terkenal, Fikry Ibrahim dengan tetamu jemputan, soal jawab bersama penonton serta segmen penutup.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Zamri memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Kompleks Kumpulan Karangkraf bagi memeriahkan suasana di samping boleh berinteraksi secara langsung dengan menteri besar Pahang itu.

“Alhamdulilllah, bagi membuka tirai Town Hall Rakyat, Sinar Harian menjemput orang awam terutamanya anak-anak Pahang yang menetap di sekitar Lembah Klang untuk sama-sama menyertai program ini.

“Diingatkan juga supaya imbas kod QR untuk sebagai tanda hadir.

“Anak-anak Pahang boleh berinteraksi, mengutarakan pendapat dan bertanyakan soalan secara terus kepada beliau ketika program nanti,“ ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!