Utama keperluan rakyat sebelum mula rancangan bangunkan Gaza - Rafidah

SHAH ALAM - Pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, inisiatif berkenaan merupakan satu perkara yang wajar dipuji, namun beberapa perkara perlu diambil kira.
"Kemusnahan berlaku di atas tanah yang dipertikaikan, di mana hak milik belum dimuktamadkan sehingga badan penghakiman atau keputusan antarabangsa yang relevan mengeluarkan keputusan jelas dan tidak dapat dibantah di mana usaha pembangunan semula mungkin sia-sia.
"Perhatian perlu diberikan kepada negara kita, terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat beribadat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza, Palestin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pembinaan semula itu akan dijalankan melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Dalam pada itu, Rafidah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Dana Kemanusiaan Khas sekiranya konflik di Gaza diselesaikan dengan jelas dan semua pihak menerima syarat yang dipersetujui.
Ujarnya, inisiatif tersebut boleh dilaksanakan dengan menjemput sektor swasta untuk menyumbang wang yang dikecualikan cukai, dengan penglibatan minimum atau tanpa melibatkan wang pembayar cukai lain oleh kerajaan.
"Lebih daripada 900,000 pesara, terutamanya penerima pencen bulanan tetapi berada di bawah garis kemiskinan, perlu diberikan perhatian.
"Kerajaan tidak sepatutnya mencabar permintaan sah yang telah diputuskan dengan tepat pada masanya oleh Mahkamah Tertinggi Negara.
"Pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat. Memang wajar untuk membantu dunia, tetapi sudah pasti itu bukan kerana 'untuk meraih sokongan politik', bukan? Begitu banyak yang perlu diselesaikan dan dilakukan di negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

