Hentikan fitnah jika benar-benar berpegang pada ajaran Islam - Dr Taufiq

Tangkap layar kenyataan media AMK Kedah pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan media AMK Kedah pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas perlu melakukan taubat nasuha dan menghentikan sebarang fitnah serta tidak menjadikan perkara itu sebagai alat politik.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan walau apa jua alasan.

Menurut ahli Parlimen Sungai Petani itu, beliau mengakui 'kagum' dengan perkongsian Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kemaafan dalam Islam.

Bagaimanapun, pihaknya mempersoalkan keberadaan presiden atau timbalan parti ketika beberapa pemimpinnya berterusan menyebarkan fitnah, malah seakan-akan diam membisu sewaktu perkara itu berlaku.

"Di manakah ulama dalam Pas yang sepatutnya menegur? Jika benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka?

“Jangan kita normalisasikan sikap hipokrit ini. Jangan beri muka kepada pemimpin Pas yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan atas nama Islam.

“Sudah tiba masanya Pas benar-benar bertaubat, bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka, tetapi amalkan dalam kehidupan serta politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tuan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook pada Rabu berpandangan, mutakhir ini memohon maaf seolah-olah ia boleh menjatuhkan maruah dan dianggap perbuatan keji.

Ia berikutan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria tampil memohon maaf berhubung dakwaannya mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan keluarga pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Hannah bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman berhubung perkara tersebut.

Pemimpin DAP terbabit menerusi platform X berpendapat, fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!