Jangan ada sabotaj dalam pengurusan air di Sabah - Hajiji

SANDAKAN - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak mahu ada unsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini termasuk di Sandakan.
Tegasnya, isu air yang dihadapi di Sandakan akan diberi keutamaan dengan memanggil Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JKNS) sendiri bagi mengenal pasti punca masalah bekalan air di daerah tersebut.
"Saya mahu tahu lebih lanjut apa masalah sebenarnya.
"Saya tidak mahu ada unsur-unsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini, termasuk di Sandakan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 peringkat daerah Sandakan di Dewan Yu Yuan di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Sandakan antara daerah yang dilaporkan terjejas bekalan air apabila air yang disalurkan kepada pengguna masin.
Isu itu berlanjutan sejak dua tahun lalu malah turut diketengahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut.
Malah difahamkan, isu tekanan air rendah yang berulang dan bekalan air dicatu juga antara isu yang turut menghantui rakyat di daerah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
