Tiada unsur jenayah babitkan insiden dilanggar komuter

Laporan Sinar Harian berhubung insiden seorang maut manakala empat lagi cedera ceroboh landasan KTMB. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
Laporan Sinar Harian berhubung insiden seorang maut manakala empat lagi cedera ceroboh landasan KTMB. Gambar kecil: Cha Hoong Fong
A
A
A

KLANG - Tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden melibatkan seorang maut manakala empat lagi cedera selepas dirempuh komuter berdekatan Stesen KTM Klang, Jalan Besar di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, maklumat berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 7.22 pagi oleh anggota Pusat Kawal Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.38 pagi ketika pemandu komuter berkenaan dari Pelabuhan Klang menuju ke Tanjung Malim.

"Setibanya di lokasi kejadian iaitu di Kilometer 34.734 arah utara, pemandu terbabit mendengar bunyi dentuman kuat seperti melanggar sesuatu.

"Individu itu turut mendapati terdapat kebocoran gas pada sistem komuter yang mengakibatkan ia berhenti serta tidak dapat meneruskan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan individu itu kemudiannya menemui mayat seorang lelaki berada di bawah gerabak komuter berkenaan sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis.

"Mayat ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan kaki kanannya putus dipercayai akibat digilis.

"Semakan mendapati individu itu merupakan lelaki warga asing berumur 45 tahun, mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat," katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, siasatan dijalankan setakat ini tidak mengesan sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan akibat dilanggar.

"Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang maut manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan antara Teluk Pulai dan Klang pada pagi Selasa.

KTMB dalam kenyataannya memaklumkan, tren Komuter No 2110 yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada jam 6.39 pagi membawa 200 penumpang terpaksa berhenti selepas melanggar penceroboh itu di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!