Umpan cengkerik dapat ikan kenerak

LIPIS - Seorang nelayan sungai di sini tidak menyangka umpan cengkerik yang digunakannya berjaya menaikkan seekor ikan kenerak atau lebih dikenali ikan askar seberat sembilan kilogram di Lubuk Sukun, Sungai Jelai berdekatan Kampung Ganding.
Sungai Jelai antara lokasi yang menjadi tumpuan nelayan dan kaki pancing kerana mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar.
Mohamad Rais Rafee, 25, berkata, dia berjaya menaikkan ikan kenerak itu atau nama saintifiknya, Bagarius kira-kira jam 6.30 petang.
"Ketika turun tengok aran pada jam 9 pagi, saya ingatkan ia tersangkut pada sebatang kayu kerana agak sukar untuk tarik ke atas bot.
"Tetapi beberapa minit kemudian kelihatan timbul ikan kenerak bersaiz sangat besar dan bila ditimbang mencecah sembilan kilogram," katanya.
Tambahnya, ikan itu dijual kepada peraih dengan harga RM40 sekilogram dan wang hasil jualan itu digunakan untuk belanja keperluan dapur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

