Program NUR@PETRA tawar e-rebat RM70 juta untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA) dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM70 juta.

Timbalan Perdana Menteri merangkap menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan program ini mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 3,910 Gigawatt jam bersamaan dengan RM2.23 bilion bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, ia juga akan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 3.0 juta tan karbon dioksida, tertakluk kepada jangka hayat dan kecekapan pengoperasian peralatan berkenaan.

"Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) akan berperanan sebagai agensi pelaksana. Terdapat tiga kategori iaitu pertama dikhaskan untuk pengguna domestik dengan tawaran e-rebat sehingga RM400 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga.

"Kategori Kedua dikhaskan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)dengan pemberian e-rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga. PETRA menjangkakan hampir 1,250 premis PMKS akan mendapat manfaat daripada program ini.

"Ketiga, disediakan e-rebat khusus untuk pengguna elektrik industri dan komersial bagi pembelian chiller cekap tenaga untuk kegunaan penyaman udara (comfort cooling) sahaja. Lebih 300 entiti perniagaan akan berpeluang meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor industri dan komersial," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Fadillah, permohonan e-rebat untuk Program NUR@PETRA bagi kategori pertama akan mula dibuka pada 31 Januari 2025.

Jelasnya, bagi kategori kedua pula permohonan e-rebat bermula pada 15 Februari 2025 manakala kategori ketiga akan dibuka pada 1 Mac 2025.

"Program NUR@PETRA merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang sebelum ini terhad kepada pengguna elektrik domestik sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Bagi menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik membeli dan menggunakan peralatan cekap tenaga, program ini telah dijenamakan semula serta diperluaskan manfaat dan kumpulan sasarnya merangkumi pihak industri, komersial termasuk PMKS," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!