Fabian Loo cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina yang bermula esok pastinya dinantikan buat semua kaum Cina di Malaysia.
Bagi aktor yang semakin meningkat naik, Fabian Loo, perayaan itu disifatkan sebagai titik permulaan dalam nasib dan kehidupan.
Setelah melalui tempoh yang sibuk sepanjang tahun lalu, jejaka berusia 34 tahun itu berharap dapat meraikan Tahun Baharu Cina dengan tenang bersama keluarga.
"Saya memang ambil cuti panjang tahun ini kerana tahun lepas, saya sibuk dengan penggambaran dari watak A ke watak B kemudian C sehinggalah saya sendiri lupa siapa saya.
"Jadi tahun ini saya mahu ambil masa untuk bertenang dan dapatkan rehat yang saya mahukan.
"Cuma setakat ini saya tidak merancang untuk ke mana-mana, tetapi yang pasti akan makan besar bersama keluarga malam ini (Selasa)," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri musim kedua, One Cent Thief di TGV Suria KLCC baru-baru ini.
Tambah pelakon yang memulakan debut menerusi filem Think Big Big itu, sebelum ini setiap kali tiba perayaan, dia dan keluarga akan pulang ke Pulau Pinang untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
Bagaimanapun semenjak pandemik, tradisi itu sudah berakhir dan keluarga besarnya akan turun ke Kuala Lumpur untuk merayakan bersama.
"Biasanya untuk makan besar, ibu mesti masakkan menu kegemaran saya iaitu ayam putih bersama sos yang dibuat sendiri oleh ibu.
"Untuk raya pertama dan kedua, saya tidak ada apa-apa perancangan, mungkin tunggu saudara-mara sahaja di rumah. Setakat ini, saya masih menerima angpau daripada keluarga kerana belum berkahwin," jelasnya yang masih solo.
Sementara itu, pelakon yang baharu sahaja memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) Ke-61 pada Disember lalu teruja menantikan reaksi penonton terhadap One Cent Thief musim kedua.
Katanya, jika dalam musim pertama, dia dikenali sebagai Ash, kali ini, dia membawakan watak sebagai Chen, individu yang mengetuai Digital Karma.
"Sejujurnya saya berasa risau menantikan reaksi penonton kerana Chen kali ini adalah seorang pengganas dan mahu mengekang Ibu Zara bersama Iman Shah.
"Saya teruja bila pihak produksi menghasilkan sekuelnya dan harapnya penonton akan suka musim kedua ini sama seperti musim pertama," katanya yang mengakui berdepan dengan banyak cabaran dalam menjayakan siri terbaharu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


