Berbeza agama, Adam Corrie tetap lunas tanggungjawab

Adam Corrie tetap melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak biarpun berbeza agama.
Adam Corrie tetap melunaskan tanggungjawab sebagai seorang anak biarpun berbeza agama.
A
A
A

MESKIPUN sudah memeluk agama Islam hampir 20 tahun lalu, pelakon, pereka tari dan penari profesional, Adam Corrie Lee Abdullah masih menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak.

Malah biarpun berbeza agama, Adam Corrie, 56, berkata, dia tetap meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain.

"Alhamdulillah setiap kali raya, saya memang akan pulang jenguk mak dan penuhi apa yang dia perlukan. Cuma sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, mak pun semakin uzur sebab sudah mencecah usia 84 tahun.

"Jadi saya rancang untuk tahun ini, saya akan bawa mak keluar untuk makan besar dan insya-ALLAH akan disertai adik saya yang juga beragama Islam dan abang saya," katanya ketika ditemui di pelancaran sebuah drama di Bukit Jalil baru-baru ini.

Lebih manis sejak sedekad lalu, Tahun Baharu Cina keluarganya hampir sempurna apabila dapat bersatu semula dengan seorang adiknya yang terpisah sejak 36 tahun lalu.

Cerita bintang yang cukup terkenal menerusi filem KL Gangster itu, adiknya sebelum ini diserahkan kepada seorang bidan berbangsa Melayu untuk dijaga kerana ibunya tidak mampu berbuat demikian.

Adam Corrie merancang untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama adik dan abangnya tahun ini.
Adam Corrie merancang untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama adik dan abangnya tahun ini.

"Mendiang ayah ketika hayat adalah seorang tentera dan banyak bertugas di luar negara. Kami pula ada adik beradik seramai 10 orang, saya anak kelima dan adik anak keenam.

"Jadi mak serahkan adik saya kepada bidan itu yang juga kawan baiknya. Namun disebabkan tuntutan tugas, bidan itu dan keluarga kami sama-sama berpisah.

Artikel Berkaitan:

"Ikutkan awal-awal itu mak dan bidan tersebut ada berhubung, tetapi tidak dapat bertemu kerana jauh," jelasnya.

Tambah Adam Corrie, semasa terlibat dalam sebuah program televisyen di Astro, dia pernah menceritakan latar belakang keluarganya dan rancangan itu ditonton kakak angkat kepada adiknya itu.

"Adik saya memang sudah lama mencari keluarganya. Kebetulan kakak dia tonton rancangan itu dan beritahu adik mengenai saya.

"Jadi adik saya hubungi Astro untuk dapatkan nombor saya dan dipendekkan cerita kami bertemu selepas itu. Cuma disebabkan kami terpisah ketika masih kecil, saya tidak begitu mengingati adik lelaki saya itu.

"Saya bawa adik bertemu abang dan kemudian bawa dia bertemu mak untuk sahkan semuanya. Sejak itu dia sering pulang menziarahi mak dan turut sama meraikan Tahun Baharu Cina," katanya yang mempunyai seorang lagi adik lelaki yang sudah terpisah secara kekal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!