Sorok mayat bayi dalam beg: Polis mohon lanjut reman pasangan kekasih

Pasangan kekasih dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk permohonan reman pada 22 Januari lalu.
Pasangan kekasih dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk permohonan reman pada 22 Januari lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis akan membuat permohonan lanjut reman terhadap pasangan kekasih yang dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada bayi perempuan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, suspek berusia 18 dan 21 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 22 Januari lalu.

"Permohonan lanjut reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Port Dickson bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sementara itu, jenazah bayi perempuan cukup sifat yang ditemui sebelum ini telah diserahkan kepada keluarga suspek wanita berkenaan untuk dikebumikan," katanya pada Isnin.

Ujarnya, penyerahan dilakukan sebaik bedah siasat selesai dan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Intan Perdana, Telok Kemang.

Media sebelum ini melaporkan pasangan berkenaan ditangkap polis di dua lokasi berasingan di daerah ini dan menemui mayat bayi perempuan dalam sebuah beg di sebuah bilik di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.

Tangkapan dibuat berikutan pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Port Dickson berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan tempatan telah melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan.

Pemeriksaan lanjut telah dilakukan ke atas bayi tersebut namun disahkan meninggal dunia dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!