Kepengerusian ASEAN 2025: Selangor bakal dapat impak besar

SHAH ALAM - Peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini bakal memberi impak besar terhadap Selangor terutama dalam sektor pelancongan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia susulan negeri itu menjadi pintu masuk utama buat delegasi dan tetamu antarabangsa menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.
Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak khususnya penjawat awam perlu memastikan persiapan Selangor berada pada tahap terbaik terutama dari segi infrastruktur.
"Kerjasama dengan kerajaan Persekutuan sebagai pengerusi ASEAN akan melibatkan 800 mesyuarat dan Selangor akan menjadi pintu masuk utama melalui KLIA dan LTSAAS, malah Pelabuhan Klang bagi mereka menaiki feri... ia menjadi titik ketibaan pertama bagi pemimpin dan delegasi.
"Bagi mereka melalui laluan darat pula akan melalui Selangor sebelum sampai ke Putrajaya sekali gus memberi kesan pertama buat delegasi yang datang, jadi soal kebersihan dan infrastruktur perlu berada dalam keadaan baik untuk menyambut kedatangan tetamu.
"Agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan semua berada dalam keadaan cemerlang. Bayangkan jika mereka tiba untuk mencari jalan yang tidak rata, papan tanda tidak diselenggara dengan baik atau landskap yang diabaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin turut menyasarkan lapan juta pelancong tempatan dan antarabangsa yang akan melawat negeri tersebut sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Beliau berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai berikutan Selangor mempunyai pelbagai warisan budaya dan pengalaman pelancongan.
Menyentuh mengenai Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor, Amirudin turut mengingatkan kepada penjawat awam supaya terus fokus bagi memastikan temasya tersebut diurus dengan baik dan seterusnya berjalan dengan lancar.
"Kita perlu bermula sekarang kerana kita menjangkakan puluhan ribu atlet, apatah lagi pegawai, dan penyokong akan hadir.
"Kita perlu mengumpulkan semua ini dan menyusunnya dalam rangka kerja, Sukma 2026 akan dikenang sebagai temasya terbaik dan hasil titik peluh kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!