'Man-Tee' raih wang besar hadiah Tahun Baharu Cina

Wei Chong (kiri) dan Kai Wun muncul juara Indonesia Masters setelah menewaskan pasangan tuan rumah di Jakarta pada Ahad. Foto Xinhua.
Wei Chong (kiri) dan Kai Wun muncul juara Indonesia Masters setelah menewaskan pasangan tuan rumah di Jakarta pada Ahad. Foto Xinhua.
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih hadiah istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Rabu ini apabila muncul juara Indonesia Masters 2025 di Jakarta sebentar tadi.

Kejayaan manis tersebut diraih selepas pilihan ketujuh kejohanan itu mengejutkan pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada kejohanan berstatus Super 500 tersebut.

Gegak gempita sorakan ribuan penyokong tuan rumah tidak diendahkan Wei Chong-Kai Wun apabila menang straight set di Istora Senayan.

Mereka yang menghuni tangga ke-13 dunia tenang mengawal permainan untuk menang set pertama 21-11.

Menjengah set kedua menyaksikan kedua-dua pasangan memperagakan permainan bertenaga dan saling bertukar mata.

Kejayaan akhirnya menyebelahi gandingan negara yang mengesahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 38 minit permainan.

Menerusi keputusan tersebut membolehkan Wei Chong-Kai Wun membawa pulang AS$37,525 (RM164,284), manakala Fajar-Rian yang merupakan pilihan pertama kejohanan meraih AS$18,050 (RM79,022).

Sebagai rekod, pencapaian terbaik juara Terbuka Taiwan 2023 pada tahun ini adalah separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka India.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!