Lelaki maut kereta rempuh tembok konkrit tol

Keadaan kereta Perodua Axia setelah hilang kawalan dan terbabas di antara lorong tol. - Foto BBP Kempas
Keadaan kereta Perodua Axia setelah hilang kawalan dan terbabas di antara lorong tol. - Foto BBP Kempas
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan melanggar tembok konkrit yang juga pembahagi antara lorong tol di kilometer (KM) 7.8 Lebuhraya Utara Selatan pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.15 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun.

“Hasil siasatan kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa hilang kawalan ketika tiba ke tempat kejadian.

“Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Axia terbabit terbabas lalu melanggar tembok konkrit pembahagi antara tol di lokasi.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penguasa Bomba Kanan Wan Nor Affendi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan terbabit pada jam 5.49 pagi.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera fire rescue tender (FRT) dan satu unit perkhidmatan, penyelamatan, perawatan, kecemasan (EMRS) dengan lapan anggota telah dihantar ke lokasi.

Artikel Berkaitan:

“Setibanya PKO ke lokasi mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Perodua Axia yang melanggar tembok pembahagi lorong tol.

“PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan menggunakan peralatan menyelamat.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!