Buku Detektif Amir ketengah bakat mewarna

SHAH ALAM - Pertandingan Mewarna sempena Jualan Gudang Karangkraf 2025 mengetengahkan lukisan doodle menerusi siri buku Detektif Amir sebagai bahan untuk aktiviti warna dalam acara tersebut.
Eksekutif Pemasaran Digital Grup Buku Karangkraf, Nurul Farehah Mohd Lokman, 34, berkata, penggunaan konsep itu bertujuan memperkembangkan kreativiti kanak-kanak dan memupuk minat mewarna mereka terhadap bahan bacaan berkenaan.
Ujarnya, penganjuran aktiviti tersebut berlangsung jam 12 tengah hari dan 3 petang pada hari minggu.
“Dalam pertandingan mewarna sebelumnya, memang kita memfokuskan siri Kids Karangkraf. Cuma kali ini kita pilih siri Detektif Amir, lukisan berkonsepkan doodle.
“Kita hendak ketengahkan bahawa buku ini juga boleh digunakan untuk mewarna, bukan sekadar membaca sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ilustrasi berkenaan turut meletakkan suasana sekolah sebagai latar belakang mewarna memandangkan sesi persekolahan akan dibuka pada Februari ini.
Jualan gudang menjadi program sulung Kumpulan Karangkraf bagi tahun 2025 dan kembali menemui penggemar buku bermula 24 Januari hingga 2 Februari pada jam 9 pagi hingga 7 malam.

Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pengunjung bukan sahaja berpeluang mendapat tawaran diskaun harga berpatutan malah terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disajikan sepanjang program berlangsung.
Kata Nurul Farehah, acara mewarna tersebut menawarkan hadiah bernilai lebih RM100 kepada pemenang utama dalam acara tersebut.
Menurutnya, peserta yang mendapat tempat pertama akan memenangi hadiah buku Kids Karangkraf dan alat tulis bernilai RM50.
“Manakala tempat kedua akan mendapat hadiah sama bernilai RM30 dan RM20 untuk tempat ketiga.
“Yang lain pula akan mendapat hadiah sagu hati. Namun apa yang hendak ditekankan ialah semua yang masuk pertandingan ini akan mendapat hadiah,” ujarnya.
Ulas Nurul Farehah, pertandingan tersebut melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dengan bayaran pendaftaran sebanyak RM10.
Jelasnya, kesinambungan penganjuran program mewarna berkenaan susulan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan keluarga yang berkunjung ke Kompleks Kumpulan Karangkraf.
“Jadi memandangkan program berkenaan sebelum ini juga mendapat sambutan memberangsangkan, kita memutuskan untuk adakan acara berkenaan.
“Tujuan kita buat aktiviti ini supaya pengunjung bukan sahaja datang untuk cari buku tetapi ada juga aktiviti untuk anak-anak mereka buat sewaktu hari minggu,” menurutnya.
-Tamat-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!