Jojo One Nation Emcees meninggal dunia ketika hadiri program dakwah

ANGGOTA kumpulan hip hop One Nation Emcees, Jojo, dilapor meninggal dunia pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.
Menurut pemilik akaun Facebook Maulana Helmi, Jojo, atau nama sebenarnya Nur Hasan Baias, rebah ketika menghadiri sebuah program dakwah di sebuah masjid di Seri Petaling.
"Buat yang mengenali Jojo One Nation Emcees, beliau telah meninggal dunia dalam medan ijtimak Qudamak Seri Petaling sewaktu doa penutup dibacakan," katanya dalam kemas kini di laman sosial tersebut.
Memetik laporan portal Mstar, rakan Allahyarham, Mimifly memaklumkan Jojo, 50, pernah diserang angin ahmar beberapa bulan lalu.
Jojo mula aktif dalam dunia seni bersama One Nation Emcees selepas memenangi sebuah pertandingan realiti pada 2008.
Kisah penghijrahan Allahyarham pernah mendapat perhatian enam tahun lalu selepas muncul kembali dengan imej baharu bersama kumpulannya dalam program Gegar Vaganza musim keenam. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!